BERPADA-PADA BERI SOKONGAN PADA IRAN, WASPADA IDEOLOGI SYIAH







Saya dan rakan-rakan sealiran sehingga hari ini masih beranggapan bahawa Israel dan Iran; kedua-duanya ada misi perluasan di Timur Tengah. 


Saya tahu ramai yang tidak setuju atas pelbagai faktor. Mungkin kerana ada tokoh yang jauh lebih senior dari kami menyokong Iran bahkan mengabsahkan Syiah sebagai ahlussunnah wal jamaah. 


Mungkin kerana terlalu marah kepada Israel lalu melihat Iran sebagai hero selepas berjaya membelasah Israel, di saat banyak negara Arab tunduk menyerah kepada Israel. Atau mungkin kerana Hamas pernah ada persefahaman strategi dengan Iran. Atau mungkin juga mereka sendiri adalah Syiah Melayu yang menyamar dan bertaqiyah. 


Melihat perkembangan serangan demi serangan yang dilakukan oleh Iran, saya beranggapan unsur-unsur mengambil kesempatan oleh Iran dari situasi sekarang untuk misi perluasan di Timur Tengah dan penguasaan sumber minyak negara Teluk semakin ketara.


Alasan untuk melemahkan Israel dengan sebahagian serangan itu tidak jelas strateginya. Israel mempunyai banyak cara untuk mengukuhkan semula dirinya. Jika Trump tidak dapat bantu, ada banyak lagi cara lain yang mereka akan usahakan. Perang baru sangat bermula, kesudahannya masih jauh untuk diramal.


Tetapi apa yang jelas adalah negara-negara di Timur Tengah tersepit di tengah-tengah persengketaan kedua kuasa ini. Negara Teluk terus menanggung kerugian hari demi hari. Negara di sekelilingnya terus berada dalam keadaan tidak stabil. Minyak makin ketara akan terlepas dari cengkaman Arab. Sama ada US atau Iran akan dapat untung lebih banyak, wallahu a'lam.


Kita dengan mudah boleh salahkan orang Arab kerana lemah dalam menentukan sikap mereka. Tetapi pernahkah kita terfikir jika kadar tekanan yang sama berlaku ke atas negara kita, apa agaknya sikap yang akan diambil oleh pemimpin politik kita; kerajaan dan pembangkang? Saya tidak nampak mereka akan buat pendirian yang lebih kuat dari apa yang dilakukan pemimpin di Timur Tengah.


Kita sebagai rakyat biasa juga lemah. Jadi, janganlah menulis seolah-olah di tangan kita ada jalan penyelesaiannya. Kita di Malaysia ini nak sampaikan sumbangan ke Palestin pun tak setara mana. Mengulas tentang negara orang lain tu berpada-padalah. 


Saya sekali lagi menyeru semua rakyat Malaysia untuk berhati-hati dengan ideologi Syiah kerana mereka ada doktrin menghalalkan darah para sahabat ra dan darah ahlussunnah wal jamaah. Bila lemah mereka bertaqiyah, bila kuat mereka membelasah.


Bergembira dengan serangan Iran ke atas Israel tidak salah. Tetapi bergembira dengan serangan ke atas negara Arab yang lain tidak sepatutnya berlaku. Hadkan kemarahan kepada pemimpin negara Arab yang bersekongkol dengan Israel tetapi jangan luaskan sehingga memarahi rakyat negara tersebut. 


Dunia menyaksikan kesungguhan dan pengorbanan rakyat negara Arab yang Sunni dalam membebaskan Palestin walaupun pemimpinnya tidak begitu. Jangan buat kesimpulan mudah bahawa Palestin hanya dibantu oleh Syiah. Hamas itu sendiri adalah Sunni. Jangan lupa Gaza sendiri adalah bumi kelahiran Imam Syafie. 


Saya juga suka untuk mengingatkan semua bahawa Rasulullah saw pernah bersabda bahawa Dajjal akan datang dibantu 70,000 Yahudi dari Asfahan (Iran) dan memakai 'taylasan'. Yakinlah bahawa Rasulullah saw tidak pernah berdusta.


Wallahu a'lam.


Ustaz Muhammad Fauzi bin Asmuni

Pengerusi Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP)




No comments: