Hari ini keluarga allahyarham Muhammad Nagashwaran Muniandy datang berjumpa saya di rumah. Mereka mengadu tentang rasa syak mereka atas kematian saudara mereka.
Kisah Muhammad Nagashwaran menganut Islam bersama tiga orang anak beliau telah dijadikan kontroversi oleh pihak tertentu. Kes dibawa ke mahkamah dan polemik panas antara pihak Perlis dan pihak yang menentang pengislaman anak-anak beliau. Pihak menentang pengislaman mereka ada yang ke peringkat ugutan bunuh. Boleh dengar semula ucapan-ucapan saya tentang kes berkenaan pada masa kontroversi tersebut.
Keluarga Nagashwaran tidak menganut Islam. Cumanya mereka hairan dengan dakwaan yang menyatakan abang mereka mati bunuh diri. Sedangkan, sejam sebelum kejadian abang mereka datang berbual dengan mereka dalam keadaan ceria dan tiada sebarang tanda kesedihan. Tiba-tiba sejam kemudian mereka menerima berita kematian beliau di rumah temannya. Apabila mereka ke tempat kejadian, mereka diberitahu beliau menggantungkan diri di kipas siling. Namun, kata mereka kipas kelihatan elok, tiada pula kelihatan selendang yang dikatakan digunakan untuk bunuh diri. Teman beliau yang tidak boleh berjalan sebab cedera ketika itu dikatakan menggunakan tangga menurunkan jenazah. CCTV pula dikatakan tidak boleh dibuka kadnya. Bedah siasat sehingga hari ini tiada berita walaupun hampir setengah tahun. Pihak Polis juga dikatakan tidak mahu memaklumkan kepada mereka apa-apa yang berkaitan. Banyak bukti-bukti gambar dan rakaman yang menimbulkan keraguan terhadap dakwaan membunuh diri disimpan oleh mereka.
Saya memohon pihak PDRM mengemaskini siasatan kes ini. Saya bimbang jika keraguan mereka benar iaitu dia tidak membunuh diri tetapi dibunuh. Jika itu benar, tuntutan keadilan mesti dilaksanakan.

No comments:
Post a Comment