Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengaitkan berlakunya keruntuhan moral dengan kemunculan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) kerana salah mengundi pemimpin yang bersifat perosak.
Kenyataan teraju Pas itu susulan tindakan polis melakukan serbuan terhadap perjumpaan kumpulan gay dihadiri hampir 100 lelaki di Kota Bharu, Kelantan bulan lalu.
Menurutnya, umat Islam kini ditimpa bencana sekularisme yang menyesatkan, apabila memisahkan urusan dunia daripada agama terutama kewajipan memilih pemimpin kerajaan tanpa sempadan agama Allah.
Akibatnya, kata Ahli Parlimen Marang itu, melantik pemimpin yang tidak layak dari segi ilmu dan akhlaknya, serta pembohong dan yang diputuskan kesalahannya di mahkamah.
“Apabila dia memohon pengampunan, bermakna dia mengaku akan kesalahannya.
“Keadaan ini menyebabkan umat Islam ditimpa berbagai-bagai kesusahan di alam dunia sebelum meninggal dunia dan menanti bencana hukuman Allah pada Hari Akhirat yang lebih menyeksa.
“Apabila tangan salah mengundi pemimpin yang disifatkan dengan ciri-ciri perosak dalam senarainya, iaitu berpolitik dengan kebendaan (rasuah), menipu dengan janji-janji bohong, dan melobi diri menjadi pemimpin, maka datanglah kerosakan aqidah melalui fahaman liberalisme dan pluralisme serta politik sekular yang terpisah daripada agama dan turutannya,” kata Hadi.
Selain itu, pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan, turut berlaku ekonomi yang membebankan rakyat dengan inflasi disebabkan bergantung kepada jibayah (cukai), bukan hidayah yang memanfaatkan hasil dan sumber manusia.
“Demikian juga, serta bertambahnya kadar kemungkaran yang lemah dicegah, diikuti dengan kemusnahan alam sekitar.
“Maka, muhasabah wajib dilakukan dengan mengubah kepada pemimpin yang benar-benar beriman dan budiman bersama ilmunya, bukan pemimpin yang berlagak,” kata Hadi menerusi siri Minda Presiden semalam.
Pada pertengahan bulan lalu, polis menyerbu perjumpaan kumpulan gay di sebuah banglo di Jalan Kemumin, di Kota Bharu yang dipercayai disertai hampir 100 lelaki.
Dalam serbuan yang dilakukan jam 1 pagi itu, polis turut merampas ratusan kondom dan ubat HIV hasil risikan dan maklumat awam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, bagaimanapun berkata, ketika serbuan dilakukan, puluhan lelaki yang lain sudah pulang dan 20 lelaki yang ditahan berusia 20 hingga 30 tahun.
Jelasnya, daripada 20 lelaki berkenaan, tiga daripadanya dikenakan tuduhan di mahkamah memandangkan terdapat video hubungan terlarang lelaki sesama lelaki dalam telefon bimbit mereka.
“Kesemua mereka yang menyertai pertemuan itu adalah orang Kelantan dan masing-masing mempunyai pekerjaan.
“Majlis pertemuan itu juga dimuat naik di media sosial untuk menarik lebih ramai peserta,” kata Mohd Yusoff lagi.
No comments:
Post a Comment