Setiausaha Politik Menteri Wilayah Pula Buat Laporan Polis Terhadap KJ
KUALA LUMPUR, 11 Jan – Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa membuat laporan polis terhadap Khairy Jamaluddin di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya pada Jumaat.
Nor Azrina Surip tampil berbuat demikian selepas menerima video berdurasi tiga minit dan 14 saat dalam grup WhatsApp memaparkan Khairy mendakwa Zaliha sewajarnya tahu mengenai Titah Adendum terkait penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun ia tidak dibincangkan dalam Lembaga Pengampunan.
Laporan itu dibuat supaya siasatan dapat dijalankan terhadap bekas Menteri Kesihatan itu secara keseluruhannya kerana berniat jahat memfitnah dan menghina nama baik Dr Zaliha Mustafa.
Saya juga mohon siasatan dijalankan terhadap Khairy atas kesalahan penyebaran maklumat palsu, mengganggu ketenteraman awam dan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian media sosial beliau untuk menyebarkan maklumat palsu atau mana-mana undang-undang yang terpakai.
“Kenyataan dikeluarkan Khairy adalah tidak benar dan telah memburukkan imej Zaliha. Perkara ini juga mengelirukan rakyat dan menimbulkan perasaan tidak senang serta suasana panik dalam kalangan rakyat sehingga berkemungkinan boleh menggugat keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini, Khairy menerusi siaran audio siar ‘Keluar Sekejap’ pada Jumaat mendakwa terdapat krisis kepercayaan terhadap bekas partinya UMNO susulan isu Titah Adendum yang melibatkan Najib.
Khairy yang dipecat UMNO dua tahun lalu, juga menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman pemenjaraannya dengan menjalani tahanan di rumah.
Hos bersama program itu, Shahril Hamdan berkata, Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa Peguam Negara tidak melaporkan perkara tersebut kepadanya.
Tambah Nor Azrina, Zaliha juga telah mengeluarkan kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa beliau tidak pernah melihat dokumen yang disebutkan sebagai Titah Adendum itu.
Terdahulu, Setiausaha Politik kepada Azalina juga membuat laporan polis terhadap Khairy di Balai Polis Sentul pada Jumaat selepas melihat satu artikel di sebuah portal yang melaporkan Khairy mendakwa Azalina berkomplot menyembunyikan Titah Adendum.
Laporan tersebut dibuat supaya polis segera menyiasat bekas Menteri Kesihatan itu.
Berdasarkan laporan polis yang tular di media sosial, Datuk Suraya Yaacob memberitahu bahawa kenyataan yang dibuat oleh Khairy itu tidak benar dan memburukkan imej Azalina sebagai menteri Kabinet.