REFORMASI UNDANG-UNDANG LAPUK TERMASUK AKTA PERHIMPUNAN AMAN
1. KANUN menyambut baik pengumuman PMX, Dato Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Dato Seri Saifudin Nasution untuk menghormati hak asasi kebebasan berhimpun dan memudahcara perjalanan himpunan awam anti rasuah.
2. Pada tahun lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said menyatakan terdapat 3000 undang-undang lapuk yang akan dikaji semula. Namun, sehingga kini tidak ada perincian apakah undang-undang lapuk yang di dalam perhatian kerajaan untuk diteliti.
3. KANUN berpandangan terdapat kewajaran untuk Kerajaan mengkaji dan meminda Akta Perhimpunan Aman 2012 supaya akta itu selaras dengan kebebasan asasi untuk berhimpun di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Contohnya, adalah tidak demokratik dan tidak munasabah untuk peserta perhimpunan meminta kebenaran bertulis kepada sesuatu pihak sebelum sesuatu perhimpunan diadakan. Sebaliknya Kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mewartakan pindaan agar mana-mana pemilik premis hanya perlu mengawal selia sesuatu perhimpunan dengan kerjasama pihak berwajib agar sesuatu perhimpunan berjalan dengan lancar dan aman. Ini dapat memberikan imej yang baik kepada Malaysia di mata dunia seperti diharapkan PMX. Kerajaan juga boleh mewartakan beberapa premis kerajaan seperti stadium untuk dijadikan sebagai tempat berhimpun.
4. Peguam KANUN sendiri mempunyai pengalaman luas mewakili pimpinan dan ahli Pakatan Harapan yang ditangkap kerana melanggar Akta Perhimpunan Aman dahulu. Maka, atas sebab itu KANUN berpandangan bahawa Akta ini perlu dipinda dan ditambah baik.
5. Apabila negara dilihat lebih demokratik dan tidak dibayangi isu hak asasi, maka pelabur akan lebih yakin dengan melihat Malaysia berdaya saing dan sama-sama memacu ke hadapan seperti negara-negara maju yang lain. Keadaan ini adalah penting untuk menunjukkan perbezaan Malaysia ketimbang dengan pesaing negara Asean yang lain yang mungkin masih dibelenggu oleh kuasa autoktratik kerajaan masing-masing.
6. Sebagai tambahan, undang-undang berkaitan pilihanraya juga masih lapuk dan wajar dipinda. Contohnya, Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 masih meletakkan sesuatu kesalahan bagi kempen tanpa permit sedangkan undang-undang berkaitan permit di bawah Akta Polis 1967 sendiri sudah dimansuhkan.
7. Malaysia juga harus berubah memperkenalkan undang-undang kempen dan undi pilihanraya secara online, selari dengan perubahan zaman. Maka Malaysia akan lebih dilihat demokratik dan menarik perhatian para pelabur.
Noorazmir Zakaria
Ketua Kluster Komunikasi KANUN (Biro Undang-Undang)
Parti Amanah Negara
25 Januari 2025
No comments:
Post a Comment