KOMEN RAFIZI RAMLI MENGENAI HARGA BARANG



 Kita selalu dengar keluhan di media sosial bahawa harga barang makin melambung. Walaupun kadar inflasi negara stabil dan berada di bawah paras 2%, iaitu terendah sejak beberapa tahun ini, tetapi media sosial masih gamat dengan isu harga barang yang naik melambung.



Kata mereka, kadar inflasi itu tidak betul sebab dimanipulasi.


Saya pun kadang-kadang termakan juga, kot lah laporan inflasi yang diberikan ni tipu saya. Walaupun saya yakin pegawai-pegawai kerajaan tak tipu saya bila mereka muktamadkan laporan inflasi setiap bulan, saya rasa kena semak juga.


Jadi saya dapatkan laporan terperinci dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk menunjukkan perbandingan harga barang. Ini laporan yang dikemukakan dalam bulan September, jadi laporan ini merujuk kepada harga dalam bulan Julai 2024 berbanding Jun 2024.


Ada 238 barang yang harganya naik. 


177 barang harga turun.


59 harga tidak berubah. 


Ada 4 barangan segar yang naik harga melebihi 10%.


Betik biasa - dari RM4.48 ke RM5.57 sekg

Udang putih - RM36.67 ke RM42.29 sekg

Oren valencia - RM1.24 ke RM1.43 sebji

Jambu batu tanpa biji - RM9.65 ke RM10.81 sekg


Tetapi ada 20 barangan segar yang turun harga melebihi 10%, antaranya:


Timun, kacang buncis, cili api, kubis bulat, daging kambing bebiri, limau kasturi, sawi, anggur merah, lada benggala, kacang panjang, ayam bersih, kailan, saderi, kacang botol, terung bulat, kubis bunga dan limau nipis.


Ayam bersih turun harga dari RM9.62 kepada RM8.54 sekilo.


Lepas dapat laporan KPDN itu, saya rasa lebih aman sebab saya tahu kita ada sistem pelaporan harga barang yang baik dan laporan inflasi itu disokong oleh turun naik setiap harga barang yang dipantau.


Setiap bulan, ada harga barang yang naik, ada harga barang yang turun, ada yang tidak berubah.


Tetapi tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa inflasi kekal rendah berbanding sebelum Kerajaan Madani mengambil alih. 


Jadi kalau terjumpa orang di media sosial yang kata harga barang naik melambung dan hidup sengsara sebab harga barang naik, saya minta hantar bukti itu kepada saya. Supaya saya boleh bagi kepada KPDN untuk diambil tindakan kerana jelas peniaga itu mengambil kesempatan, dalam keadaan suasana inflasi keseluruhannya adalah rendah.