KERAJAAN BARU CADANG. TAPI KALAU NAK DITERUSKAN, TAK ADA HAL PUN.

 

TAK MAHU KERAJAAN TARIK BALIK PENDAKWAAN, ISTERI TUN DAIM BERTINDAK TERPUJI

Isteri Tun Daim Zainudin dipetik sebagai berkata,  tiada keperluan untuk Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghentikan pendakwaan terhadap  suaminya yang meninggal dunia pada 13 November lalu.

Naimah Khalid berkata, beliau mewakili Tun Daim yang merupakan bekas Menteri Kewangan sebanyak dua kali ingin menegaskan bahawa adalah menjadi hasrat suaminya supaya perbicaraan tetap diteruskan di mahkamah sehingga tamat, walau apapun keputusan  pada akhirnya nanti.

“Tun Daim mendambakan harinya di mahkamah dan penuh yakin bahawa akhirnya beliau akan didapati tidak bersalah.

“Dengan kata lain, tidak ada keperluan untuk Peguam Negara (Mohd Dusuki Mokhtar) mahupun Ketua Pesuruhjaya SPRM (Azam Baki) untuk menyemak semula, memberhentikan atau menarik balik pendakwaan terhadap Tun Daim.

“Malah kami sama sekali tidak akan memohon perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Naiman juga memberitahu, beliau juga telah mengarahkan peguamnya menulis surat kepada Peguam Negara bagi memaklumkan  perkara tersebut.

“Peguam saya seterusnya akan memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tentang keputusan kami bahawa perbicaraan perlu diteruskan apabila kes ini bersambung pada 20 Nov (esok),” katanya lagi.

Naimah juga menegaskan,  mereka tidak akan membenarkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berselindung di sebalik kematian Tun Daim di atas fitnah yang dilontarkannya berulang-ulang terhadap suaminya secara terbuka dengan cuba menghentikan pendakwaan itu.

Awal tahun ini, Tun Daim dan Naimah didakwa di mahkamah atas tuduhan gagal mematuhi terma notis perisytiharan harta dikeluarkan bawah Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009.

Kes jenayahnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melibatkan aset yang merangkumi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah serta dua akaun dana pelaburan.

Selain itu, SPRM turut menyita Menara Ilham, sebuah bangunan bernilai komersial tinggi di Kuala Lumpur yang dimiliki oleh keluarga Tun Daim.

Keputusan isteri Tun Daim ini, walaupun barangkali memeranjatkan ramai orang kerana suaminya baru saja meninggal dunia, tetapi ia adalah tindakan yang betul dan wajar demi membersihkan nama baik Allahyarham.

Biar perbicaraan diteruskan dan terserah kepada mahkamah membuat keputusan.

Hanya keputusan mahkamah akan menentukan sama ada Tun Daim bersalah atau sebaliknya.

Kepada isteri Tun Daim, ketegasannya untuk terus berjuang membersihkan nama suaminya dan tidak mengharapkan simpati lantaran suaminya telah meninggal dunia, adalah suatu tindakan berani dan paling terpuji. 

Tidak ramai wanita di dunia ia ada jiwa sekuat yang dimilikinya.

Maka, tiada sebab bagi kerajaan dan Peguam Negara untuk tidak berani juga menyahut tuntutan isteri Tun Daim ini. – ShahbudinHusin 19November2024.