Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh barangkali agar keterlaluan dalam menyerang Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok sehingga menggelarnya sebagai nyonya tua.
Gelaran itu ternampak bertujuan memperlekeh Teresa dengan gambaran beliau seorang yang sudah tua yang suka bercakap merapu dan bukan-bukan.
Hakikatnya Terese belumlah terlalu tua, walaupun beliau sudah agak berusia umurnya.
Dibandingkan dengan usianya, sesetengah pemimpin Wanita UMNO ada yang jauh lebih tua daripadanya.
Cara penampilan dan berpakaian Teresa boleh dikata cukup sederhana, moden dan agak sepadan dengan usianya.
Beliau malah masih cergas sebagai Ahli Parlimen Seputeh dan berjawatan kanan dalam DAP iaitu Naib Pengerusi DAP Kebangsaan.
Hanya kerana kenyataannya berkaitan cadangan Menteri Agama mahu mewajibkan sijil halal kepada restoran yang tidak menyajikan hidangan babi dan minuman beralkohol, itu tidak mewajarkan untuk Dr Akmal menggelarnya sebagai nyonya tua.
Teresa sebenarnya bertindak dalam kapasiti yang wajar sebagai wakil rakyat yang mewakili masyarakat Cina iaitu mengangkat suara peniaga-peniaga Cina berkaitan sijil halal itu.
Beliau beruara bukan sebagai wanita tua yang suka berleter sebagaimana dilabel sebagai nyonya tua oleh Dr Akmal itu.
Beliau tidak pun membantah perlaksanaan atau kewujudan sijil halal di negara ini, cuma sekadar menyuarakan perasaan peniaga-peniaga Cina saja.
Apa yang disuarakan oleh Teresa juga bukanlah termasuk dalam kategori 3R kerana yang ingin disuarakannya hanyalah berkaitan cadangan kerajaan yang belum pun menjadi kenyataan yang melibatkan peniaga-peniaga bukan Melayu.
Ini lebih berkaitan soal pentadbiran kerajaan dan pemimpin-pemimpin Melayu serta Islam pula tak usahlah cepat sangat melompat mengaitkan semua perbezaan pendapat dengan 3R.
Lainlah jika Teresa membantah perlaksanaan atau penguatkuasaan sijil halal itu secara keseluruhan, maka ia barulah boleh dianggap menyentuh isu 3R.
Yang disuarakannya hanyalah suara peniaga bukan Melayu yang kerajaan sebenarnya tidak patut pun memaksa mereka memohon sijil halal.
Bagi peniaga-peniaga bukan Melayu, jika mereka tiada sijil halal pun tidak mengapa, cuma kita sebagai pengguna Islam janganlah berkunjung ke kedai atau membeli jualan mereka.
Jika mereka tiada sijil halal, ia lebih berpotensi menyebabkan mereka sendiri kehilangan pelanggan Islam.
Dengan itu, kalau mereka ingin meluaskan lagi perniagaan, memiliki sijil halal adalah salah satu caranya.
Ia terserah kepada mereka untuk membuat pilihan serta pertimbangan.
Dalam isu ini, berikutan tindakan Dr Akmal menggelar Teresa sebagai nyonya tua, ia mungkin berpotensi membuatkan pengundi Cina di Dun Mahkota berasa kecil hati dan tersinggung dengan gelaran itu.
Tidak salah untuk berbalas serangan dan saling berbalah sesama parti dalam kerajaan, tetapi ia harus dilakukan dengan matang dan tanpa melabel yang tidak sepatutnya.
Meskipun Cina bukan DAP dan DAP bukan bukan Cina, tetapi berdasarkan keputusan beberapa pilihan raya sebelum ini, secara majoritinya pengundi Cina adalah pengundi DAP.
Di Dun Mahkota yang bakal ada PRK pada 28 September, jumlah pengundi Cina adalah agak besar iaitu sekitar 35 peratus.
Berdasarkan keputusan PRN di Dun Mahkota sebelum ini, kemampuan calon Amanah/PH memperolehi sebanyak 11,445 undi berbanding BN yang memperolehi 16, 611 undi, sebahagian besar undi itu adalah diyakini datang daripada pemgundi Cina.
Bagaimana jika pengundi Cina di Dun Mahkota melakukan protes dengan tidak keluar mengundi pada 28 September nanti sebagaimana berlaku di Sungai Bakap sebelum ini?
Di Sungai Bakap, Rafizi Ramli antara yang dipersalahkan atas kekalahan PKR kerana ungkapan bodoh dan bahlul yang diucapkannya, apakah di Mahkota ini, gelaran nyonya tua bakal membawa bala pula? – ShahbudinHusin 09September2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/09/09/menggelar-nyonya-tua-kepada-teresa-berpotensi-membuatkan-pengundi-cina-melakukan-protes-di-mahkota.html