Fawwas Fadthil
Bayar gaji pemain bola dengan bantu anak yatim, mana lebih afdal?
Jawapannya: Bayar gaji pemain lebih afdal dan wajib dibayar.
Ini kerana pemain terlibat dengan kontrak dan bayaran. Maka memenuhi kontrak dan bayaran gaji pemain hukumnya adalah wajib.
Ini berdasarkan sebuah hadith qudsi yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari:
قالَ اللَّهُ: ثَلاثَةٌ أنا خَصْمُهُمْ يَومَ القِيامَةِ: رَجُلٌ أعْطَى بي ثُمَّ غَدَرَ، ورَجُلٌ باعَ حُرًّا فأكَلَ ثَمَنَهُ، ورَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أجِيرًا فاسْتَوْفَى منه ولم يُعطِه أجرَه
Rasulullah SAW bersabda:
“Allah berfirman: Tiga golongan yang Aku akan menjadi musuh mereka pada Hari Kiamat: seorang lelaki yang membuat perjanjian dengan nama-Ku lalu mengkhianatinya; seorang lelaki yang menjual orang yang merdeka dan memakan harganya; dan seorang lelaki yang mengupah pekerja, kemudian mendapat kerja sepenuhnya daripadanya tetapi tidak membayarnya upahnya.”
(Al-Bukhari:2270)
Hadis ini menekankan akibat yang berat bagi mereka yang mengingkari janji, terutama dalam konteks pekerjaan dan pembayaran upah yang adil.
Adapun membantu anak-anak yatim hukumnya adalah SUNAT sahaja. Membantu mereka adalah sangat dituntut berdasarkan hadith Nabi SAW:
أنا وكافل اليتيم كهاتين
“Aku dan orang yang mengurus anak yatim adalah seperti ini.”
Dalam hadith ini, Nabi Muhammad SAW menunjukkan dengan merapatkan jari telunjuk dan jari tengahnya, menekankan betapa dekatnya kedudukan di akhirat antara baginda dan mereka yang mengurus anak yatim.
Dahulukan serta utamakan yang lebih berhak dan wajib berbanding yang sunat dan dituntut.