INI NAMANYA ADA SEMANGAT MELAWAN, IKTIBAR PKR TELAH MEMBUKTIKAN




Walaupun dilihat sukar memperolehi kemenangan, bahkan boleh dikata hampir mustahil, tetapi PN tetap berkeyakinan tinggi untuk mengubah takdir pada PRK Dun Mahkota, 28 September ini.


Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, kerusi Dun Mahkota bukanlah kubu kepada mana-mana parti.


Tegasnya, mana-mana parti yang bertanding berpeluang untuk menang di kerusi berkenaan.


“Dalam politik apa saja boleh berlaku walaupun suasana dilihat atas kertas memihak kepada parti tertentu.


“Begitu juga di Dun Mahkota, bagi saya kerusi berkenaan bukan kubu kuat mana-mana parti kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku.


“Citarasa pengundi tiada siapa yang tahu dan hanya dibuktikan ketika mengundi,” katanya.


Untuk rekod, pada PRN Johor lalu, calon BN, Sharifah Azizah Syed Zain berjaya memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 5,166 undi melalui pertembungan empat penjuru.


Beliau memperolehi 16,611 undi menewaskan calon PH/Amanah yang mendapat 11,445 undi, PN yang memperolehi 7,614 undi dan Warisan yang sekadar beroleh 555 undi.


Syarifah Azizah meninggal dunia pada 1 Ogos lalu.


PN telah menetapkan kerusi Dun Mahkota pada PRK 28 September ini ditandingi oleh calon daripada Bersatu untuk berhadapan dengan calon BN daripada UMNO.


UMNO semalam telah memutuskan Ketua Pemuda Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah sebagai calonnya.


Di atas kertas, oleh kerana PH dan BN sudah bekerjasama melalui kerajaan perpaduan dan dalam PRK Mahkota nanti pun kedua-dua gabungan terus bekerjasama, sekurang-kurangnya 28,000 undi sudah tersedia untuk Syed Hussein dilihat mudah untuk merangkul kemenangan.


Jumlah undi tersebut terlalu besar untuk disaingi oleh PN yang hanya berbekalkan 7,614 undi sedia ada.


Tetapi, apa yang bagusnya di sini ialah semangat yang ditunjukkan oleh Takiyuddin yang mewakili PN dalam PRK Dun Mahkota yang bakal menjelang tiba.


Sebagai blok pembangkang, semangat melawan seperti inilah yang diperlukan.


Ia bukan saja untuk menyuburkan demokrasi, bahkan juga memungkinkan kejayaan pada masa depan.


Dulu, Pas pernah berkata, mereka bertanding bukan semata-mata untuk menang, tetapi lebih sebagai dakwah untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai perjuangan Islam yang mereka bawa.


Berikutan tidak henti-henti bertanding, bahkab kerap kalah daripada menang, namun hari ini Pas merupakan parti yang berjaya memiliki jumlah Ahli Parlimen terbesar sekali di negara ini.


Begitu juga dengan PKR, berbekalkan semangat lawan tetap lawan, parti itu sentiasa bersemangat untuk melakukan perubahan dengan bertanding demi bertanding dalam banyak pilihan raya.


Pada suatu ketika iaitu pada PRU tahun 2004, berikutan perubahan kepimpinan daripada Tun Mahathir Mohamad kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi, PKR hanya menang satu kerusi iaitu Permatang Pauh saja pada ketika itu.


Namun, dengan semangat melawan yang tak pernah pudar, PKR hari ini akhirnya berjaya mengetuai kerajaan negara ini.


Hakikatnya, inilah pentingnya ada semangat melawan dan tidak pernah kenal putus asa dalam perjuangan.


Kemenangan pasti akan menjelma akhirnya.


Lagi pula, bila ada pertandingan, selain politik terus meriah, rezeki juga melimpah kepada kedua-dua pihak yang bertanding.


Kalau tiada pertandingan di Dun Mahkota nanti misalnya, jentera dan pekerja parti daripada UMNO pun tiada rezeki tambahan boleh dikaut lantaran tiada peruntukan akan diturunkan ke kawasan tersebut.


Bila ada PRK, di samping peruntukan itu dan ini boleh diminta atau direka, projek segera untuk pembangunan pun sudah tentu mencurah-curah banyaknya.


Akhirnya, ramailah yang dapat rezeki tambahan untuk kehidupan masing-masing.


Dengan itu, syabas kepada PN kerana tetap bertanding di Dun Mahkota, meski harapan untuk kalah lebih cerah berbanding peluang untuk menang.


Semangat mereka untuk terus melawan  dan tetap bertanding di Dun Mahkota, bukan saja membawa kebaikan untuk perjuangan masa depan, tetapi juga mampu memberi rezeki kepada ramai orang.


Selain dalam politik macam-macam keajaiban boleh berlaku, tambahan lagi blok pembangkang iaitu PH/Amanah pernah menang di Dun Mahkota pada PRU 2018 lalu, kalah juga adalah pelajaran paling berguna untuk meneroka kemenangan di masa depan. – ShahbudinHusin 08September2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/09/08/ini-namanya-ada-semangat-melawan.html



No comments: