Isu GISB biar kerajaan tentukan



mso


MENITIK MALAM

 



Dr Mohd Na'im Mokhtar

ISU Global Ikhwan Sendiri Berhad (GISB), yang kini sedang menggelegak sudah sampai ke pengetahuan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar. Semalam beliau telah mengeluarkan kenyataan khusus berhubung isu itu dimana pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan aqidah umat Islam kerana ia adalah perkara asas dalam Islam yang mesti dipelihara setiap masa.


Sehubungan itu ujar Dr Mohd Na’im, beliau akan mengada pertemuan segera dengan pihak GISB Holding bagi mendapat maklum balas serta penjelasan berhubungan dakwaan penglibatan syarikat itu dengan ajaran sesat Al Arqam dan Rufaqa.

Sehari dua ini tular dalam media sosial yang GISB sebuah syarikat perniagaan yang diwujudkan selepas terkuburnya jemaah Darul Arqam telah didakwa cuba menghidupkan semula fahaman sesat Al Arqam dalam syarikat tersebut. 

 

Apa yang turut sama ditaburkan dalam medsos, GISB telah mempergunakan tenaga kanak-kanak dan wanita untuk kepentingan perniagaan serta mengamalkan cara hidup yang tidak Islamik dan berlaku penganiayaan. Disamping itu berbagai cerita mencemarkan syarikat berkenaan ditimbulkan.

Kesan daripada penularan secara terancang itu telah menimbulkan masalah kepada syarikat berkenaan yang didakwa beroperasi di beberapa buah negara. Seperti mana diakui sendiri oleh pengerusinya Nasiruddin Mohd Ali, barangan keluaran syarikat itu kini termasuk makanan dan restoran dipulau oleh masyarakat umum.

Nasaruddin dalam satu klik video di Tiktok menzahirkan rasa dukacita dan kesal dengan apa yang berlaku dan menganggap ia adalah fitnah.

Dalam satu kenyataan lain Nasiruddin menyatakan kesediaan untuk syarikat korporat bernuansakan Islam itu disiasat bagi dibersihkan segala tuduhan buruk ke atasnya.



Nasiruddin Mohd Ali

Dalam kenyatana itu juga Nasiruddin menyakini 98 peratus mereka bertanggungjawab menyebarkan fitnah dan memburukkan GISB ialah bekas-bekas pengikut atau pun pekerja GISB sendiri yang sengaja ditimbulkan kerana kebencian dan cemburu dengan pencapaian GISB. 

 

"Kejayaan GISB mengadakan Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa (IITTE) di Melaka baru-baru ini ini mendorong pihak itu menyerang GISB", kata Nasiruddin. 

Memahami apa diucapkan Nasiruddin itu, apa yang berlaku sekarang ini adalah angkara bekas-bekas pengikut atau pendukung GISB sendiri. Jadi masalah yang menimpa GISB itu adalah masalah dalam yang dibawa eksporat untuk mendapat perhatian umum khasnya pihak berkuasa kerajaan dengan niat melakukan sesuatu tindakan ke atas GISB.

Justeru, adalah elok kalau kerajaan menerusi Jakim dan insitusi berkaitan termasuk Polis diRaja Malaysia (PDRM), memanggil pihak GISB untuk mendapat penjelasan sejelas-jelasnya. Siasatan secara menyeluruh perlu dilakukan dengan penuh terbuka dan saksama agar tidak berlaku penganiyaan kepada mana-mana pihak.

Peristiwa yang pernah menimpa jemaah Darul Arqam ditahun 1994 lalu perlu diambil iktibar. Disebabkan tindakan itu berdasarkan maklum kurang tepat menyebabkan jemaah itu dihancurkan, akibatnya membawa kerugian kepada para pengikutnya yang tidak berdosa.

Penghancuran Darul Arqam bukan sahaja membendung ajaran dan fahaman salah Al Arqam setelah pewujudannya selama 26 tahun, tetapi ikut memusnahkan juga institusi pendidikan, pertanian, kebudayaan dan perniagaan dan lain-lain lain yang dibentuk dan dicambahkan oleh jemaah berkenaan. Hendaknya jangan pisang berbuah dua kali.

Kita meletakkan keyakinan penuh kepada kebijaksanaan Menteri Agama Dr Mohd Na’im menangani isu GISB ini dengan bijaksana, adil dan tidak bertindak hanya berdasarkan maklumat sebelah pihak tanpa menyiasat jauh ke dalam syarikat korporat bernuansa Syariat Islam itu.

 

Dalam pada itu timbul juga kehairanan apakah pihak Jakim khasnya yang bertanggungjawab memantau bekas-bekas jemaah Al Arqam yang sudah mengaku kembali ke jalan benar dan bertaubat selama ini, tidak dapat mengesani apa yang berlaku dalam GISB kini atau institusi itu tidak menjalankan tugas?  [wm.kl. 8:16 pm 08/09/2024]