Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menolak permohonan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin supaya kes gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah dihadapinya, didengar hakim Mahkamah Sesyen lain.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas mendapati pemohon gagal membuktikan kemungkinan berlaku berat sebelah dalam perbicaraan itu.
Peguam Nizamuddin Hamid yang mewakili Daim dan isterinya Na’imah Abdul Khalid tidak membantah keputusan itu.
Dalam prosiding hari ini, Nizamuddin turut memohon pengecualian kehadiran Daim dalam prosiding permohonan atas alasan kesihatan.
Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudiannya memohon mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar untuk pemeriksaan mental di hospital kerajaan yang digazetkan.
Menurutnya, berdasarkan laporan perubatan pihak pembelaan, tertuduh disahkan mengalami beberapa serangan strok dan keadaan itu menyebabkannya jatuh hingga retak tulang.
Jika dilihat keadaan tertuduh, perbicaraan nanti kemungkinan tertuduh tidak dapat hadir. Yang utama ialah kesihatan mental tertuduh, katanya menurut Berita Harian.
Wan Shaharuddin menjelaskan Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah boleh digunakan untuk menilai sama ada Daim layak dibicarakan.
Azura menetapkan 17 Oktober depan keputusan permohonan itu.
Daim sebelum ini memfailkan permohonan untuk memindahkan kes pada 7 Mei lepas atas alasan antaranya terdapat kemungkinan berlaku ketidakadilan dan prejudis terhadapnya kerana kes isterinya, Na’imah Abdul Khalid juga didengar di hadapan hakim sama (Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi).
Pada 29 Jan lepas, Daim atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin, 86, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk beberapa kenderaan mewah, syarikat dan hartanah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah.
Na’imah, 66, pula didakwa pada 23 Jan lepas atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.