PERHIMPUNAN ANTI ANWARPelik kenapa Walaun diehard tak ikut serta?

 

Zainuddin Omar



Perhimpunan Anti-Anwar di Putrajaya yang pada asalnya diharap puluhan ribu pendemo hanya dihadiri oleh 150 orang sahaja termasuk ramai pemberita dan photographers. 


Kemungkinan besar dianjurkan oleh Walatok dan Walabah. 


Pelik kenapa Walaun diehard tak ikut serta? 


****************

SIRI perhimpunan anti-Anwar Ibrahim yang mula digerakkan sejak minggu lalu dijangka tidak berjaya mengatasi kejayaan kempen menggulingkan Barisan Nasional sebelum ini, kata pemerhati.


Walaupun ada isu dibangkitkan agak berbekas, ia hanya menggamit perhatian segelintir pihak, kata seorang penggerak kempen yang berpengalaman menggembleng ribuan orang turun ke jalan.


Aktivis politik Hishamuddin Rais berkata antara faktor utama disebabkan kelemahan pembangkang yang tidak menguasai isu dan tidak berwibawa di Parlimen.


“Tengoklah sewaktu hari pertama persidangan, (Presiden PAS) Abdul Hadi Awang tak ada, (Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin pun tak ada di Dewan Rakyat,” katanya.


Jelasnya, PAS juga berpengalaman luas dalam kempen di jalan raya namun ketidakhadiran parti itu di perhimpunan Demi Negara menunjukkan demo itu tidak tersebut tidak akan ke mana.


Penganjur berikrar akan menghimpunkan jumlah lebih besar dalam siri demo akan datang namun Hishamuddin sangsi perkara itu akan menjadi realiti tanpa penyertaan PAS.


Pada masa sama, beliau mengesyaki perkara itu disebabkan PAS masih berunding dengan kerajaan atas beberapa tuntutan, yang menyebabkan parti tersebut masih tidak menyertai demo Demi Negara.


“Boleh jadi mereka akan menyertai kerajaan perpaduan,” kata intelektual awam itu yang merujuk perkembangan bulan lalu mengenai dakwaan rundingan melibatkan PAS.


Isu berkenaan menjadi perhatian seketika awal bulan lalu apabila dibangkitkan Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzli yang mendakwa PAS berhasrat menyertai kerajaan perpaduan.


Isu tersebut lenyap daripada perbincangkan apabila dinafikan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan sebagai “imaginasi” Fahmi.


Bagaimanapun Hishamuddin percaya kenyataan menteri komunikasi itu wajar diselidik lebih lanjut dalam latar kempen gerakan anti-Anwar yang sedang berlangsung.


Beliau seterusnya melihat PAS sangsi untuk menyertai kempen seperti itu kerana sudah kehilangan ramai “pejuang jalanan” yang disingkir keluar dari parti dan kini membentuk Amanah.


“Orang seperti Mohamad Sabu, Dr Hatta Ramli, ini semua orang yang sedia turun ke jalan raya,” katanya yang membandingkan personaliti seperti Sanusi Md Nor, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Takiyuddin.


Selain itu, beliau juga menjangka kempen Demi Negara tidak akan menjadi perhimpunan gergasi seperti siri perhimpunan Bersih kerana pembangkang sendiri tidak teratur pada waktu ini.


“Untuk menghimpunkan ribuan orang seperti perhimpunan Bersih, ia memerlukan banyak organisasi… Kalau tidak turun jalan raya, tidak akan menang pilihan raya,” katanya.


Jelasnya, perhimpunan berjaya kerana mendapat sokongan organisasi berpengaruh seperti Badan Peguam dan parti politik pembangkang. 


Kemudian, barulah BN ditewaskan dan perkara itu terpaksa diakui bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang selama ini sering memburuk-burukkan perhimpunan jalanan.


“Itulah kemampuan Mahathir – menyatukan pembangkang. Jadi pada waktu inipun pembangkang perlu bersatu jika hendak melawan Anwar,” katanya.


Walaupun mengakui Demo Rakyat Lawan Anwar mempunyai asas membela hak rakyat, beliau perlu berlaku adil kerana perdana menteri mentadbir kerajaan dalam keadaan ekonomi yang buruk.


“Kerajaan baharu pula tidak berpengalaman. Malang sekali Anwar menjadi perdana menteri sewaktu ekonomi merudum,” katanya.


Jelasnya Anwar kini hanya mampu mengawal dasar dalaman negara namun banyak perkara tersebut ditentukan faktor luaran yang di luar kawalan seperti perang luar negara dan harga petroleum dunia.


Bagaimanapun beliau tetap terhibur melihat kempen itu merampas slogan Reformasi yang menjadi laungan perang Anwar sewaktu di kem pembangkang.


“Sebab itulah kata orang, pelanduk lupakan jerat tapi jerat tak lupakan pelanduk,” katanya yang menjelaskan janji-janji yang ditaburkan semasa menjadi pembangkang kini menghantui kerajaan.


Hishamuddin juga percaya isu melibatkan pegangan saham firma BlackRock yang dikaitkan dengan Israel dalam Malaysia Airports Holdings Bhd tidak begitu difahami rakyat waktu ini.


Isu geopolitik seperti itu sukar diterangkan sewaktu demo dan lebih sesuai dijelaskan dalam bentuk forum, katanya.


Oleh sebab itu, beliau menjangka isu BlackRock tidak menjadi isu utama dalam pilihan raya umum akan datang dan hanya menjadi modal sampingan sewaktu pilihan raya kecil.


“Ia tidak berapa menggigit berbanding isi harga barang dan makanan,” katanya lagi.


Namun beliau melihat reaksi kerajaan ke atas beberapa kenyataan yang kritikal ke atas tindakan kerajaan melibatkan BlackRock menunjukkan dakwaan melibatkan isu berkenaan berasas.


Beliau merujuk tindakan kerajaan memadamkan beberapa video ucapan seperti yang menampilkan bekas menteri Khairy Jamaluddin berkait BlackRock dari pelantar TikTok.


“Lagipun perang sebenar sekarang di Internet, di media sosial,” katanya lagi.


Sementara itu, penganalisis politik Asrul Hadi Abdullah menjangka pembangkang akan tetap menggunakan isu BlackRock sebagai skandal besar seperti 1MDB.


Beliau melihat isu tersebut mampu menguatkan kecurigaan di kalangan golongan Melayu terutama luar bandar ke atas pentadbiran Anwar.


Katanya, krisis kemanusiaan di Palestin amat merenggut emosi rakyat Malaysia dan isu melibatkan penguasaan BlackRock dalam MAHB sukar dijelaskan kerajaan dengan fakta semata-mata.


Bagaimanapun, isu melibatkan penyasaran semula subsidi bahan api dan kenaikan harga barang akan tetap menjadi fokus utama dalam pilihan raya berbanding kes BlackRock, katanya.


“Saya percaya sewaktu pilihan raya, isu seperti kos sara hidup, subsidi dan keperluan asas akan menjadi faktor penentu bagi pengundi, terutama bagi pengundi atas pagar.


“Sama dengan Najib (Razak), beliau tidak tewas pilihan raya disebabkan 1MDB tetapi disebabkan GST dan kenaikan kos sara hidup,” katanya. – 6 Julai, 2024.



No comments: