Mahkamah tolak permohonan bekas Panglima TLDM untuk batal 3 pertuduhan berkait LCS


Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya. - Foto NSTP
Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor, untuk membatalkan tiga pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya.

Beliau yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS), didakwa melakukan pecah amanah membabitkan dana syarikat itu berjumlah lebih RM21 juta berkaitan projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) pada 2010 dan 2011 bagi perolehan TLDM.

"Oleh itu, permohonan pemohon untuk membatalkan ketiga-tiga pertuduhan terbabit ditolak dan kes dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk hakim bicara membuat penilaian berhubung kecergasan mental pemohon," katanya.

Pendakwa Raya melalui afidavit balasan difailkan seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan, hakim bicara (Mahkamah Sesyen) tidak berpeluang mengetahui keadaan kesihatan Ahmad Ramli.

Menurutnya, setakat ini, Ahmad Ramli hanya hadir di mahkamah sebanyak dua kali, iaitu pada 16 Ogos 2022 ketika dituduh di mahkamah dan 21 November 2022 untuk serahan dokumen, manakala peguam memohon anak guam mereka itu dikecualikan daripada hadir di mahkamah pada tarikh lain.

Pada prosiding hari ini, Ahmad Ramli selaku pemohon yang dikecualikan kehadirannya di mahkamah, diwakili peguam, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, Alex Tan Chie Siam dan Mohd Yunos Shariff.Pendakwa Raya yang dinamakan selaku responden pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadi Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zander Lim Wai Keong.

Mahadi ketika ditemui selepas prosiding, memberitahu bahawa mahkamah menetapkan 30 Julai ini bagi sebutan kes di Mahkamah Sesyen.

Berdasarkan notis usul difailkan pada April lalu, Ahmad Ramli memohon Mahkamah Tinggi untuk membatalkan ketiga-tiga pertuduhan dihadapinya, serta memohon supaya beliau dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan berkenaan.

Afidavit sokongan difailkan anak perempuan Ahmad Ramli, Rinnie Nor, 50, menyatakan selepas menjalani pemeriksaan perubatan, bapanya disahkan mengalami keadaan neurodegeneratif progresif yang konsisten dengan keadaan dementia bercampur sederhana.

Disebabkan keadaan neurologikal itu, Rinnie Nor berkata, bapanya akan memberi suatu versi peristiwa yang tidak tepat walaupun beliau secara jujur percaya bahawa penerangannya adalah sebaliknya.

Beliau berkata, Ahmad Ramli akan tidak berupaya untuk menumpukan perhatian kepada apa yang berlaku ketika perbicaraan, atau soalan yang mungkin ditujukan kepadanya sama ada ketika berada dalam kandang saksi atau diajukan oleh peguamnya.

Katanya, Ahmad Ramli juga akan mempunyai kesukaran untuk memberi jawapan yang relevan kepada soalan (yang dikemukakan).

"Beliau akan tidak berupaya untuk ingat peristiwa atau apa yang dibangkitkan ketika perbicaraan, tidak berupaya memberi suatu keterangan yang konsisten, serta tidak berupaya memberi arahan yang tepat dan efektif kepada peguamnya.

"Keadaan neurologikal beliau adalah progresif, akan berterusan dan menjadi semakin teruk sepanjang perbicaraan, serta wujud kemungkinan besar kesihatan beliau akan terjejas akibat perbicaraan.

"Dalam hal ini, saya sesungguhnya percaya bahawa tidak adil untuk membicarakan beliau atas pertuduhan itu dan oleh yang demikian, ia adalah terjumlah kepada suatu penyalahgunaan proses," katanya.

Ahmad Ramli didakwa dengan pertuduhan pertama, yang mana beliau ketika itu sebagai Pengarah BNS, melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana syarikat, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM13,541,140 ke akaun Syarikat Setaria Holding Limited tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana BNS, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM1,360,716 ke akaun Syarikat JSD Corporation Pte Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Bagi pertuduhan ketiga pula, beliau didakwa melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta dana BNS, iaitu dengan curangnya meluluskan pembayaran berjumlah RM6,182,295 ke akaun Syarikat Sousmarin Armada Ltd tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di BNS, Menara Boustead, Jalan Raja Chulan, pada 26 Julai 2010, 28 Oktober 2010, 25 Mac 2011, 19 April 2011, 4 Mei 2011 dan 22 November 2011.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan dengan sebat serta denda.

Peguam mewakili Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Peguam mewakili Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Hairul Anuar Rahim


No comments: