JANGAN JADIKAN ISU KPG SRI MAKMUR SEBAGAI MEDAN PEMILIHAN TIMBALAN PRESIDEN BERSATU



2hb Jun 2024


Tindakan dua pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang 

memperkudakan penduduk Kampung Sri Makmur, Gombak, ke dalam persengketaan antara mereka berdua yang sedang bergelut untuk jawatan dalam 

pemilihan parti yang bakal berlangsung adalah tindakan tidak bermaruah dan 

seharusnya dihentikan serta-merta. 

Selaku Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia dan Dewan Negeri 

Selangor, YB Hamzah Zainudin dan YB Azmin Ali yang merupakan dua watak yang 

sentiasa diragui rakyat seeloknya lebih bertanggungjawab dalam hal melibatkan 

rakyat. 

Sebaliknya, mereka serta YB Hilman Idham yang terikut dengan tindak-tanduk 

kedua-dua idola politiknya sanggup melangkaui batas sehingga menyalahgunakan 

kitab suci Al-Quran sebagai bahan politik di Kampung Sri Makmur.

Sebenarnya, perkara berkait Kampung Sri Makmur bermula sejak tahun 2006 

apabila Kerajaan Negeri pada waktu itu telah menawarkan rumah kepada 

penduduk setinggan yang menduduki tanah milik Kerajaan. 

Tawaran ini dibuat berdasarkan bancian penduduk setinggan asal yang 

dilaksanakan pada tahun 2006 oleh Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama 

Pejabat Daerah dan Tanah Gombak (PDTG).

Sebahagian besar penduduk telah menerima tawaran Kerajaan Negeri untuk 

pindah ke rumah kos rendah di Selayang Mulia, manakala sekumpulan lagi menolak 

tawaran ini dan memohon pampasan.


Kemudian, MPS pada bulan Julai 2006 telah menjalankan operasi perobohan bagi 

unit-unit rumah yang telah dikosongkan.

Pada tahun 2016, susulan kepada keputusan untuk membangunkan kawasna itu, 

Pejabat Daerah dan Tanah Gombak telah menjalankan satu lagi proses bancian 

untuk mengenalpasti penduduk setinggan asal yang menduduki kawasan itu sejak 

tahun 2006 dan sebelumnya.

Namun, penduduk setinggan Kampung Sri Makmur dibiarkan dalam keadaan tidak 

tentu akibat Menteri Besar pada tahun 2016 yang tidak dapat mencari solusi 

kepada isu ini. Malah, YB Hilman Idham merupakan Pegawai Khas kepada Menteri 

Besar pada detik itu.

Apabila pentadbiran baharu mengambil alih pada tahun 2018, Kerajaan Negeri 

memutuskan bahawa kawasan itu harus dibangunkan secara tersusun dan 

Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor telah mengambil langkah dengan menjual 

tanah ini kepada Rexpoint Resources Sdn. Bhd pada September 2020.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri berikhtiar bahawa penduduk asal setinggan 

Kampung Sri Makmur harus menikmati peluang memiliki rumah sendiri selepas 

menetap dalam keadaan setinggan untuk tempoh yang lama.

Oleh yang demikian, YAB Dato’ Menteri Besar telah mengarahkan supaya Majlis 

Perbandaran Selayang, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, serta PKNS menyemak 

semula senarai bancian tahun 2006 dan 2016 dan mengesahkan senarai ini supaya 

dapat mengenal pasti penduduk setinggal asal Kampung Sri Makmur agar dapat 

mengelakkan mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas proses ini.

Ini yang menjadi asas yang membolehkan Kerajaan Negeri untuk menawarkan 

pembelian Rumah Selangorku Seri Temenggung berkeluasan 750kps dengan subsidi 

sebanyak RM65,000 setiap keluarga serta bayaran untuk pemindahan rumah 

sebanyak RM1,000.00 oleh pihak pemaju kepada 21 setinggan asal yang tersenarai 

dalam proses bancian tahun 2006 dan 2016 serta disahkan oleh Pejabat Daerah dan 

Tanah Gombak.


Seterusnya, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah 

mengeluarkan surat tawaran Rumah Selangorku pada 21 Mei 2024 dan tawaran ini 

diedarkan oleh pihak pemaju kepada 21 setinggan asal yang disahkan.

Harus dinyatakan bahawa syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Pejabat Daerah 

dan Tanah Gombak adalah keluarga setinggan yang dapat mengemukakan sebarang 

bukti dokumen bahawa mereka telah menetap di Kampung Sri Makmur sejak 

sebelum tahun 2006 dan terlibat dalam kedua-dua proses bancian tahun 2006 dan 

2016.

Malangya, terdapat juga mereka yang telah meninggalkan kawasan itu tetapi kini 

menuntut supaya diberikan pampasan yang sama seperti mereka yang merupakan 

penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur.

Selaku Setiausaha Politik, saya diarahkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar supaya 

bahawa sepanjang proses ini berjalan, kita harus membela penduduk setinggan asal 

Kampung Sri Makmur meskipun kita mengakui bahawa memindah dari 

perkampungan asal ke kawasan perumahan baharu bukannya satu proses yang 

mudah. 

Waima demikian, penyelesaian yang dicapai adalah bukti Kerajaan Negeri 

melaksanakan proses ini dengan amat cermat supaya sekurang-kurangnya 

penduduk setinggan asal Kampung Sri Makmur akan mempunyai hak kepada rumah 

yang dimiliki sendiri dengan harga subsidi yang tidak diperolehi komuniti lain.

Selain itu, dakwaan bahawa puluhan naskah-naskah kitab suci Al-Quran

dimusnahkan dalam proses pengosongan Kampung Sri Makmur merupakan satu 

fitnah keji terhadap penjawat awam dan pegawai keselamatan oleh orang yang 

tidak bertanggungjawab.

Saya amat kesal dengan tindakan beberapa pemimpin yang ketagih politik dan

menyalahgunakan isu ini semata-mata sebagai gelanggang kempen yang ingin 

merebut jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan parti yang akhirnya tidak 

akan membawa manfaat kepada rakyat.



A Rahim Bin Ahmad Kasdi

Setiausaha Politik kepada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor.