BAGAIMANA JIKA SPEAKER ENGGAN KOSONGKAN ENAM KERUSI PARLIMEN?
Beberapa rakan dan teman ada bertanya soalan – bagaimana jika Speaker Parlimen, Johari Abdul membuat keputusan yang berbeza dengan Speaker Dun Kelantan berkaitan enam kerusi Parlimen Bersatu yang wakil rakyatnya telah dimuktamadkan terhenti keahliannya?
Ertinya, sementara Dun Nenggiri telah diisytiharkan kosong, tetapi enam kawasan Parlimen yang kesnya sama dengan Nenggriri itu, tidak diumumkan berlaku kekosongan.
Berdasarkan perlembagaan, bahkan telah dinyatakan oleh Perdana Menteri, segala keputusan adalah di tangan Speaker.
Sebagaimana Speaker Dun Kelantan berkuasa menentukan kekosongan di peringkat negeri, Speaker Parlimen pula berkuasa bagi kerusi Parlimen.
Dengan demikian, boleh saja bagi Speaker Parlimen membuat keputusan yang berbeza berdasarkan pertimbangannya sendiri.
Tetapi melihat kepada beberapa peruntukan dalam Akta Lompat Parti, Akta Pertubuhan dan pindaan perlembagaan Bersatu yang diluluskan RoS, akan timbul beberapa kesan jika Speaker enggan mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen berkenaan.
Pertama, keputusan Speaker itu akan diketawakan dunia dan semua orang akan melihatnya sebagai keputusan yang ada campurtangan politik untuk melindungi kedudukan Perdana Menteri.
Melindungi Perdana Menteri bermakna melindungi kedudukan Speaker sendiri kerana Speaker adalah lantikan parti yang mengetuai kerajaan.
Seterusnya, berikutan dikaitkan dengan unsur politik itu, Akta Lompat Parti yang diperjuangkan Anwar sebelum ini sudah menjadi mainan politik yang tidak memberi makna apa-apa kepada hasrat memurnikan dunia politik negara selepas berlakunya Langkah Sheraton.
Kedua, selain Speaker, kerajaan dan Anwar juga sudah pasti akan mendapat kecaman yang menyeluruh daripada rakyat yang cintakan kebenaran dan menolak pengkhianatan.
Akan timbul pelbagai serangan, kecaman dan hentaman kepada kerajaan dan Perdana Menteri dalam hal itu.
Selepas isu subsidi diesel dan Blackrock serta tmbunan janji Anwar yang diungkit kembali, sediakah kerajaan berdepan satu lagi gelombang serangan?
Ketiga, tidak mustahil keputusan Speaker itu nanti menjadi duluan atau precedent kepada kemungkinan sejumlah Ahli Parlimen UMNO/BN mengumumkan penarikan sokongan terhadap Anwar, tetapi mereka tetap kekal bersama UMNO.
Dua hari lalu, Annuar Musa menyebut seramai 11 Ahli Parlimen UMNO/BN sedang menunggu masa untuk berbuat demikian.
Kita tidak tahu siapa 11 Ahli Parlimen itu atau sama ada dakwaan bekas menteri UMNO itu betul atau tidak, tetapi kita mungkin cepat dapat mengetuai kebenarannya selepas keputusan Speaker berkaitan enam kerusi Parlimen Bersatu yang telah diumumkan terhenti keahliannya itu.
Kesimpulannya, terpulang kepada Speaker untuk membuat keputusan berkaitan enam kerusi itu kerana kuasa ditangannya.
Beliau boleh mengisytiharkan kosong dan boleh juga sebaliknya.
Cuma satu ingin diingatkan, jika salah buat keputusan, semua orang dalam kerajaan mungkin tidak cukup tangan untuk menepis hujanan serangan yang akan menimpa nanti. – ShahbudinHusin 30Jun2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/06/30/bagaimana-jika-speaker-enggan-kosongkan-enam-kerusi-parlimen.html