Bila orang kuat Pentadbiran Amerika datang menjenguk


Nik Hasyudeen


Pada bulan Disember 2023 dahulu, Pengarah FBI datang menziarahi negara ini. Di antara orang yang dia jumpai ialah Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah SPRM.


Mengikut laporan akhbar, kali terakhir seorang Pengarah FBI menjejakkan kaki ke Malaysia ialah pada tahun 2002. Walaupun nama jawatannya Pengarah sahaja, jangan ingat ianya kecil anak dan di bawah kedudukan ketua pengarah di Malaysia 🤗.


Akhbar the Edge semalam telah melaporkan bahawa Brian Nelson, Setiausaha Rendah Perbendaharaan Amerika berkenaan terorisma dan risikan kewangan nak berkunjung ke Malaysia dan Singapura (pautan di ruangan komen). Dilaporkan dia nak bawa isu pembiayaan keganasan berkenaan Iran dan sekutu-sekutu Iran seperti Hamas.


Bagi orang yang suka memerhati apa yang tak tertulis, lawatan-lawatan ini menarik perhatian saya. Di dalam tempoh yang pendek, 2 orang pegawai pentadbiran Amerika berkenaan risikan dan terorisma melawat negara kita yang aman damai ini.


Oleh kerana banyak transaksi kewangan kita dengan negara-negara luar menggunakan Dollar Amerika, Perbendaharaan Amerika mempunyai bidang kuasa untuk memberikan syarat-syarat mereka ke atas kita. Ingat kes 1MDB? Oleh kerana transaksi haram dan jenayah 1MDB menggunakan Dollar, Jabatan Keadilan Amerika telah menyiasat dan mengambil tindakan berdasarkan bidang kuasa mereka itu.


Tahun hadapan Financial Action Task Force (FATF) akan melakukan penilaian ke atas sistem anti pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas ke atas Malaysia. Ini merupakan satu perkara penting kerana hasil penilaiannya akan mempengaruhi akses kita kepada sistem kewangan dunia.


Beginilah realiti sebuah negara. Mentadbir, mengurus dan memimpinnya jauh lebih rumit dan kompleks berbanding dengan membuat pelbagai konten di FB, Tiktok dan pelbagai platfom media sosial yang lain. Ianya menjangkau naratif “Laksana Islam, semuanya selesai”. Nak laksana apa, bila, bagaimana, apa tujuannya, apa impaknya, semua itu kena diperincikan dan mengambil kira pelbagai realiti yang ada.


Walaupun di zaman Rasulullah SAW ada golongan ‘Arab yang berminda mudah, kita tentunya nak masuk ke dalam golongan Sahabat yang hebat-hebat. Ini memerlukan kepada ilmu dan kefahaman yang lebih mendalam serta kemampuan melaksana, bukannya bersyarah sahaja:


Beragaman kena ada ilmu dan kefahaman, bukannya secara romatik dan retorik sahaja.



No comments: