Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam dihukum tujuh tahun penjara, dua sebatan rotan dan denda RM10 juta selepas Mahkamah Tinggi KL mendapatinya bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, salah guna harta dan penggubahan wang haram melibatkan dana Pemuda Bersatu (Armada) berjumlah RM1.12 juta.
Jika gagal membayar denda RM10 juta yang dikenakan itu, Syed Saddiq akan dihukum penjara empat tahun lagi sebagai gantinya.
Mahkamah membenarkan semua hukuman ditangguhkan sementara rayuannya didengar di Mahkamah Rayuan.
Meskipun sudah ramai ahli politik di negara ini dihukum kerana kesalahan rasuah dan pecah amanah, tetapi Syed Saddiq mencipta sejarah sebagai Ahli Parlimen pertama dihukum sebat.
Jika sebelum ini beliau mencipta sejarah sebagai pemimpin termuda dilantik sebagai menteri penuh, kini satu lagi sejarah diciptanya.
Seiring dengan hukuman yang diterimanya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu segera mengumumkan perletakan jawatannya sebagai Presiden Muda.
Tindakan Syed Saddiq itu sekurang-kurangnya harus diberi pujian kerana beliau tidak menjadikannya kedudukannya sebagai ketua parti untuk perisai bagi dirinya daripada sabitan bersalah yang diputuskan mahkamah terhadapnya.
Bagaimanapun, dua persoalan yang ada di hadapan selepas ini ialah apakah nasib Muda dan apakah Syed Saddiq masih ada masa depan dalam politik negara ini?
Imej dan pengaruh Muda, kalau pun tidak seratus peratus, tetapi sebahagian besarnya adalah kerana Syed Saddiq.
Tanpa beliau mengemudi parti itu, ia tidak mungkin mampu ke mana-mana.
Apatah lagi, pemimpin yang mengambil alih jawatan Syed Saddiq ialah Amira Aisya Abdul Aziz, Timbalan Presiden Muda sekarang ini.
Amira Aisya tidak cukup dikenali, tidak cukup wibawa, bahkan hampir tiada aura seperti Syed Saddiq.
Dengan pengunduran Syed Saddiq, Muda akan menjadi parti yang tiada lagi masa depan dan akan “habis” begitu saja.
Berkaitan Syed Saddiq pula, walaupun beliau akan membuat rayuan, tetapi berdasarkan fakta mahkamah, kes beliau adalah adalah kes yang jelas, mudah dan “straighforward”.
Untuk lebih mudah memahaminya, ia hampir sama dengan kes SRC International yang dihadapi Najib Razak.
Jika dalam kes Najib, sejumlah wang didapati dimasukkan ke akaun bank peribadinya, dalam kes Syed Saddiq pula, sejumlah wang dipindahkan ke akaun simpanan ASB miliknya.
Dengan demikian, kebarangkalian untuk Syed Saddiq dilepaskan di Mahkamah Rayuan oleh hakim-hakim yang bijaksana adalah amat tipis sekali.
Begitu juga, dalam rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan nanti.
Dalam erti kata lain, teramat sukar bagi Syed Saddiq untuk mengelak penjara sebagai destinasi dalam laluan kehidupannya.
Beberapa tahun dihukum dipenjara, disebat dan didenda berjuta-juta, Syed Saddiq akhirnya akan kehilangan upaya untuk terus menggilap masa depan dalam dunia politik selepas ini.
Senang cerita, Syed Saddiq akan “habis” dan Muda juga akan sama “habis”. – ShahbudinHusin 10/11/2023.
https://shahbudindotcom.net/2023/11/10/syed-saddiq-habis-muda-pun-habis.html