Oleh: Abdullah Zaid
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhasrat untuk
memperluaskan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi ke semua sekolah
kebangsaan pada tahun depan.
Menterinya, Fadhlina Sidek (PH-Nibong Tebal) berkata, modul
penghayatan itu hanya akan diajar kepada pelajar dan guru beragama Islam dalam
semua aktiviti yang dilaksanakan.
"Modul ini dibangunkan Kementerian (KPM) dan diselaraskan
dengan JAKIM bagi memastikan kupasan hadis dalam modul terbabit sesuai dengan
tahap pemahaman murid dan konteks Malaysia.
"Modul penghayatan ini bukanlah mata pelajaran baharu, namun
modul itu adalah bahan pengayaan bagi mata pelajaran Pendidikan Islam dan ia
juga tiada pertindanan dengan mata pelajaran Islam sedia ada.
"Oleh itu, KPM merancang untuk perluasan aktiviti penghayatan
ini ke semua sekolah KPM yang hanya akan membabitkan murid beragama Islam saja
mulai tahun 2024," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat,
hari ini.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata model penghayatan pada ketika
ini hanya dilaksanakan secara rintis melibatkan sekolah menengah kebangsaan
agama (SMKA) dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) sahaja.
"Aktiviti ini boleh dilaksanakan sama ada di dalam atau luar
bilik darjah selain pihak sekolah boleh merujuk model itu dengan memuat turun
Digital Educational Learning Initiative Malaysia atau Delima bagi memastikan
aktiviti penghayatan itu dapat dilaksanakan dengan baik," ujarnya lagi.
Pada 19 Ogos lalu KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam
Nawawi yang bertujuan bagi memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan
memperkasakan kefahaman agama.