Ops Jamin periksa 31,100 kedai, pastikan bekalan beras cukup


 Oleh: Abdullah Zaid



Ekoran kekurangan bekalan beras, Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan Ops Jamin bagi memeriksa 31,100 premis di seluruh negara.



Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh berkata, operasi yang dijalankan itu turut melibatkan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).



Jelas Fuziah, kolaborasi itu antara lain bagi memastikan beras putih tempatan (BPT) dijual pada harga stabil dan terkawal selain untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat dalam menangani kenaikan harga barang.



"Seperti hari ini kita turun sendiri melihat keadaan bekalan dan harga beras, gula, minyak masak dan sebagainya. Sebelum ini kita maklum, negara berhadapan dengan masalah bekalan beras.



"Selain itu, KPDN membuat jualan Rahmah beras iaitu kita jual beras import dengan harga Rahmah lebih kurang dengan harga beras tempatan. Kalau kata tiada beras, kita akan bantu sampaikan kepada KPKM.



"Tapi kalau terima aduan beras tempatan ditampal label beras import, kita akan siasat bawah akta berkaitan. Ada beberapa siasatan yang sudah dimulakan di mana beberapa laporan sudah saya terima," katanya.



Justeru itu, pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan aktiviti tersebut.



"Empat kes melibatkan Akta Perihal Dagangan 2011 dan dua kes melibatkan Akta Timbang dan Sukat 1972 menjadikan 10 kes secara keseluruhannya telah diambil tindakan oleh KPDN," ujarnya lagi.



Sebagai rekod, Ops Jamin yang mula dijalankan sejak 7 Julai lalu hingga semalam itu dilancarkan bagi memastikan bekalan beras tempatan mencukupi selain memastikan BPT dijual pada harga terkawal iaitu RM2.60 sekilo (kg).