REFERENDUM TIDAK MENJADI, ANWAR BOLEH TERUS KEKAL HINGGA HUJUNG PENGGAL

 

Keputusan PRN enam negeri pastinya sudah diketahui keputusannya oleh kita semua.
Apa pun keputusannya, yang penting sekali ialah PH/BN berjaya mengekalkan tiga negeri yang selama ini dikuasainya dan begitu juga dengan PN yang turut berjaya mengekalkan tiga negeri tadbirannya.
Asasnya, sementara PN beria-ia mahu menjadikan PRN kali ini sebagai referendum kepada kerajaan perpaduan dan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, keputusan 3-3 yang diterjemahkan oleh undi rakyat memberi erti bahawa referendum itu langsung tidak menjadi.
Referendum apa namanya kalau satu negeri PH pun gagal ditawan oleh PN?
Kejayaan PN memenangi banyak kawasan majoriti Melayu, menjadikan UMNO semakin tidak bermaya serta menafikan kemenangan dua pertiga PH/BN di Selangor, ia pada hakikatnya tidak menggugat sama sekali kedudukan Anwar di peringkat pusat.
Anwar boleh terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga hujung penggal kerana semua elemen kemenangan PN itu sama sekali tidak membuatkan Anwar tercedera, berdarah atau luka.
Jika tidak sabar menunggu PRU16, Anwar hanya boleh dijatuhkan dengan Mahiaddin Md Yasin mesti ada keberanian mengusulkan undi tidak percaya di Parlimen dalam waktu terdekat ini.
Tanpa keberanian membawa usul undi tidak percaya, sebaliknya hanya menjerit dalam sidang media saja mendesak Anwar meletak jawatan, tiada apa-apa akan berubah kerananya.
Harus diingat, yang akan mengundi jika usul undi tidak percaya dibawa di Parlimen ialah Ahli-Ahli Parlimen, manakala Adun-Adun yang baru menang semalam tidak menyumbang apa-apa undi untuk menjatuhkan Anwar, melainlan sekadar boleh menjerit di luar pagar Parlimen saja.
Kepada Mahiaddin, berhentilah mendesak Anwar meletak jawatan susulan keputusan PRN ini dan lebih baik beliau mengarahkan menantunya balik segera daripada luar negara untuk mengadap SPRM terlebih dahulu.
Begitu pun, dengan keputusan PRN semalam, Anwar bermula sekarang tidak boleh lagi goyang kaki dan mengambil mudah cabaran PRU16 akan datang.
PRU16 adalah titian siratul mustakim yang sebenar bagi masa depan politik Anwar bersama kerajaan perpaduan yang sedang dipimpinnya.
Beliau mulai sekarang harus berani melakukan rombakan besar-besaran dalam semua struktur dan jentera di sekelilingnya – daripada menteri-menteri kabinet, agensi propaganda kerajaan, sayap penerangan parti dan lain-lain lagi.
Bermula esok, perkara terpenting yang harus Anwar lakukan ialah memastikan semua jentera di sekelilngnya betul-betul berfungsi dan memberi nilai tambah kepadanya.
Mana-mana yang tidak berfungsi dan tidak berbuat apa-apa sepanjang kempen PRN lalu hendaklah dirombak, dipecat atau ditukar penerajunya.
Tempoh masa kira-kira empat tahun daripada sekarang sehingga PRU16 yang dijangka pada 2027 hendaklah digunakan sebaik-baiknya untuk menarik dan menambah lagi sokongan rakyat, bukan semata-mata untuk memberi orang tertentu dengan jawatan dan gaji lumayan semata-mata.
Tidak kira Melayu, Cina, India dan lain-lainnya, semua kaum sebagai rakyat Malaysia mesti disatukan untuk bersama-sama membina negara secara harmoni melalui jenama kerajaan perpaduan ini.
Sentimen kaum dan agama yang menjadi modal politik PN hendaklah ditangani dengan bijaksana dan tidak dibiarkan berterusan begitu saja meruntuhkan perpaduan yang menjadi asas negara ini dibina.
Mendepani cabaran yang ada di hadapan, jenama kerajaan perpaduan adalah resepi terbaik untuk membina negara dan memastikan Malaysia yang pelbagai kaum ini terus bergerak ke hadapan dengan cemerlang.
Di tangan Anwarlah kini bagaimana untuk meletak rempah ratus, cili, garam, gula dan lain-lainnya dimasukkan dengan sempurna agar hidangan yang disiapkan, bukan saja cantik hiasannya, tetapi juga enak untuk dinikmati. – ShahbudinHusin 13/08/2023.

No comments: