MAHIADDIN SEPATUTNYA LETAK JAWATAN, HADI AWANG LEBIH BERWIBAWA MEMIMPIN PN




Sejak semalam, beredar satu poster di media sosial tentang kedudukan parti yang mentadbir negeri-negeri sebaik berlabuhnya tirai PRN.


Disebutkan dalam poster itu, Pas kini mentadbir negeri Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu; BN mentadbir Perak, Pahang, Johor dan Melaka; PH mentadbir Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang; GRS di Sabah serta di GPS di Sarawak.


Di mana Bersatu?


Ohhhh…terbukti dan ramai kini tersedar bahawa Bersatu tidak memiliki satu negeri pun di bawah tadbirannya di negara ini.


Kesiannya…


Setelah berakhirnya PRN yang memperlihatkan hajat besar PN untuk menawan negeri dikawal PH, khususnya Selangor tidak menghasilkan kejayaan, ketiadaan negeri ditadbir Bersatu ini juga menyerlahkan satu lagi sisi kegagalan Mahiaddin Md Yasin selaku Presiden parti tersebut.


Adalah jelas lagi nyata kini, parti yang benar-benar unggul dalam PN ialah Pas dan bukannya Bersatu.


Menyusuli kejayaan memenangi paling banyak kerusi Parlimen pada PRU15 lalu, pencapaian Pas sekali lagi amat membanggakan dalam PRN yang baru saja berakhir Sabtu lalu.


Di Kedah, Kelantan dan Terengganu, tanpa Bersatu dan Pas bergerak secara solo pun sebenarnya mereka mampu mencipta kejayaan yang gemilang.


Tidakkah dengan keadaan ini, Mahiaddin sepatutnya ada sedikit rasa malu dan wajar meletak jawatan selaku Pengerusi PN?


Di sisi yang lain pula, jika dibandingkan antara Pas dengan Bersatu, parti pimpinan Hadi Awang itu juga sentiasa jelas hala tuju perjuangannya serta amat berwibawa di mata pengundi.


Sebab itu, yang benar-benar diterima oleh pengundi Melayu ialah Pas dan apa yang berlaku sepanjang kempen adalah kebangkitan gelombang hijau dan bukan gelombang biru kelabu.


Dengan kedudukan parti yang kukuh, berwibawa dan sentiasa berkembang, Ahli Parlimen lebih ramai serta menguasai empat negeri, PN sepatutnya lebih wajar diketuai oleh pemimpin daripada Pas berbanding Bersatu.


Lalu, bila lagi Mahiaddin nak letak jawatan dan serah jawatannya kepada Hadi Awang?


Tidak harus kita lupa, satu lagi kecacatan Mahiaddin sebagai pemimpin ialah beliau kini merupakan kluster mahkamah, sama seperti Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.


Dalam kedudukan demikian, selain tidak tidak pernah bersedia melepaskan jawatannya dalam parti, Mahiaddin diketahui masih lagi bercita-cifa untuk jadi Perdana Menteri.


Jika peluang terbuka, pasti Mahiaddin lebih menombor-satukan dirinya untuk mengisi jawatan Perdana Menteri berbanding Hadi Awang atau Hamzah Zainuddin.


Dalam hal ini, apa bezanya beliau dengan Zahid Hamidi?


Lebih daripada itu, di ketika menantunya sendiri sedang dicari SPRM dan dipercayai berada di luar negara sejak Mei lalu, beliau terbukti gagal memainkan peranan yang signifikan, sama ada memberi maklumat di mana menantunya itu berada atau mengarahkannya balik dengan segera.


Sebagai bekas Perdana Menteri dan masih bercita-cita untuk jadi Perdana Menteri, Mahiaddin seharusnya sedar beliau ada tanggungjawab moral untuk memastikan dirinya serta ahli keluarganya sentiasa patuh kepada undang-undang negara.


Kalau itu tidak mampu dilakukan, lebih baik jangan bertangguh lagi nak letak jawatan dan serahkan saja jawatan Pengerusi PN kepada Hadi Awang. – ShahbudinHusin 14/08/2023.


https://shahbudindotcom.net/



No comments: