Oleh: Dr Madhi Hasan
ULASAN: Selepas kegagalan gerakan ala
Langkah Sheraton untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pada bulan Mei lalu,
agenda parti-parti pembangkang untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan melalui
pintu belakang kini beralih kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pemimpin-pemimpin PN berusaha menghidupkan harapan baru kepada
penyokong-penyokong mereka dengan mencanangkan bahawa kemenangan PN dalam PRN
adalah wasilah atau jalan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan. Bagaimana
proses itu boleh dilaksanakan tidak pula diberi penjelasan terperinci.
Dari sudut kiraan matematik, perancangan itu amatlah sukar
dilaksanakan kerana Perdana Menteri memiliki sokongan dua pertiga di dalam
Dewan Rakyat. PN memerlukan peralihan sokongan daripada sekurang-kurangnya 38
orang Ahli Parlimen untuk mencapai angka keramat 112.
Dalam PRN kali ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi titik tumpuan
dalam pertembungan strategi antara kedua-dua belah pihak. Gabungan PH-BN
(Gabungan Perpaduan) menjadikan beliau sebagai poster boy manakala PN pula cuba
mengubah PRN ini menjadi sebuah referendum bagi membuktikan yang rakyat menolak
kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Ia sedikit sebanyak telah
menyebabkan PRN ini menyimpang daripada tujuannya yang asal iaitu memilih
kepimpinan kerajaan-kerajaan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
Status quo 6 negeri
Ada pelbagai kemungkinan ataupun senario yang akan berlaku selepas
keputusan PRN diumumkan nanti. Senario pertama ialah status quo iaitu tiga buah
negeri kekal dimenangi oleh Gabungan Perpaduan dan tiga buah negeri lagi kekal
diterajui oleh PN. Dalam senario ini, kedudukan Kerajaan Perpaduan tidak akan
tergugat kerana kedudukan tersebut tidak akan mencetuskan kebimbangan dan
protes dalam BN yang merupakan blok kedua terbesar dalam Kerajaan Perpaduan.
Sungguhpun BN gagal untuk berkuasa di Kedah, Kelantan dan
Terengganu, setidak-tidaknya BN kini akan diberikan ruang sebagai rakan kongsi
di dalam kerajaan-kerajaan negeri di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri
Sembilan. Pada masa yang sama, UMNO akan menikmati sokongan daripada segmen
pengundi bukan Melayu yang kebanyakannya telah menolak BN sejak tahun 2008.
Oleh itu, senario ini akan memberikan insentif kepada UMNO dan BN untuk terus
konsisten bersama Kerajaan Perpaduan.
Senario kedua ialah senario terbaik bagi Gabungan Perpaduan di
mana Gabungan Perpaduan berjaya merampas sekurang-kurangnya sebuah negeri
daripada PN yang mana Kedah dilihat sebagai sasaran utama. Dalam senario ini,
keputusan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan lapan bulan yang lalu akan terbukti
berbaloi dan membolehkannya memulihkan semula kekuatan untuk menghadapi PRU-16.
Dalam keadaan itu, sudah pastilah tidak ada sesiapa di dalam UMNO
yang akan berani untuk mendesak kepimpinan parti supaya meninggalkan Kerajaan
Perpaduan. Kedudukan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri akan bertambah kukuh
manakala karier politik Muhyiddin Yassin akan berdepan hari-hari yang suram.
Senario ketiga ialah senario terburuk bagi Gabungan Perpaduan di
mana PN berpeluang untuk merampas sekurang-kurangnya sebuah negeri yang mana
Selangor ialah sasaran yang agak munasabah. Walau bagaimanapun, untuk mencapai
tahap ini, PN memerlukan gelombang hijau yang lebih kuat daripada PRU-15. Ini
kerana berdasarkan kaji selidik terkini oleh Institut Darul Ehsan, 74% pengundi
di Selangor cenderung untuk mengundi Gabungan Perpaduan manakala hanya 16%
pengundi di Selangor akan mengundi PN.
Selain itu, 73.4% responden kaji selidik tersebut menyatakan
persepsi yang positif tentang Anwar Ibrahim, iaitu satu peningkatan yang besar
berbanding sewaktu beliau belum menjadi Perdana Menteri. Semasa menjadi Ketua
Pembangkang, jumlah responden yang mempunyai persepsi yang positif terhadap
Anwar Ibrahim hanya pada sekitar 40% sahaja.
Sekiranya senario ketiga ini menjadi realiti, persoalannya adakah
ia akan menyebabkan berakhirnya Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh Anwar
Ibrahim? Bagi pemimpin-pemimpin PN, secara teorinya mereka berharap senario
ketiga tersebut akan mencetuskan perasaan panik di dalam UMNO. Keadaan seperti
itu pernah terjadi kepada Bersatu sewaktu ia berada di dalam PH iaitu setelah
mereka mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai. PN berharap
agar suasana panik tersebut akan menyebabkan Zahid Hamidi ditekan untuk
berundur ataupun dipaksa untuk membawa BN keluar daripada Kerajaan Perpaduan.
Adakah Kerajaan Perpaduan bertahan?
Berdasarkan ketiga-tiga senario di atas, walau apapun keputusan
PRN nanti, pertukaran kerajaan di Putrajaya pada hakikatnya adalah amat sukar
untuk berlaku. Seandainya Selangor dapat ditawan oleh PN sekalipun, usaha untuk
menumbangkan Kerajaan Perpaduan di Putrajaya akan tersekat oleh faktor-faktor
berikut:
1. Lompatan Secara Blok
Undang-undang anti lompat parti yang berkuatkuasa pada tahun 2022
telah ternyata berkesan dalam menyekat Ahli-ahli Parlimen daripada melompat
parti sesuka hati mereka. Ahli Parlimen yang berbuat demikian akan kehilangan
kerusi Parlimen yang disandangnya. Itulah yang menyebabkan Muhyiddin Yassin
terlepas peluang daripada menjadi Perdana Menteri pada bulan November tahun
lalu.
Untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan, PN perlu mendapatkan
sokongan secara blok daripada BN yang mempunyai 30 orang Ahli Parlimen.
Keputusan tersebut mestilah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan Dewan
Tertinggi Barisan Nasional.
Persoalannya adakah Zahid Hamidi akan tunduk kepada desakan untuk
meletak jawatan bagi memudahkan urusan untuk membawa keluar BN daripada
Kerajaan Perpaduan? Sekiranya beliau bertegas untuk tidak meletak jawatan maka
UMNO dan BN akan berpecah. Katakanlah Zahid Hamidi bersetuju untuk membawa BN
keluar dari Kerajaan Perpaduan, jumlah itu masih belum mencukupi kerana
sekurang-kurangnya lapan orang Ahli Parlimen lagi diperlukan bagi mencapai
angka 112.
Oleh itu, PN perlu meyakinkan GPS atau GRS untuk mencukupkan
jumlah yang diperlukan. Secara realistiknya, kebarangkalian untuk GPS atau GRS
meninggalkan Kerajaan Perpaduan adalah amat kecil. Ini kerana kerajaan negeri
Sarawak dan Sabah telah mendapat banyak faedah daripada Kerajaan Perpaduan jika
dibandingkan dengan kerajaan-kerajaan pusat yang terdahulu.
Parti-parti Borneo yang kesemuanya membawa imej liberal dan
sekular sudah pasti tidak mahu menempah risiko yang besar dengan menyertai
kerajaan pusat yang didominasi oleh Pas. Tambahan pula, keputusan PRN tersebut
adalah persoalan politik Semenanjung yang tidak ada kena mengena dengan
kepentingan GPS dan GRS dalam politik Sarawak dan Sabah.
2. Faktor Istana
Kerajaan Perpaduan ditubuhkan atas titah Yang Dipertuan Agong
sebagai solusi Diraja ke atas masalah Parlimen tergantung yang berlaku selepas
PRU-15. Sejak itu, Perdana Menteri telah berjaya membina hubungan yang mesra
dengan Raja-raja Melayu. Dengan adanya UMNO di dalam Kerajaan Perpaduan,
Raja-raja bertambah yakin bahawa Kerajaan Perpaduan akan mempertahankan
kepentingan orang Melayu.
Dengan adanya sokongan daripada Istana terhadap Perdana Menteri,
apa-apa usaha pintu belakang untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan akan
berdepan dengan kesukaran. Ia akan dilihat sebagai pelanggaran kepada kehendak
Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu yang mahu kestabilan politik
diwujudkan.
Sekiranya Kerajaan Perpaduan tumbang, kerajaan baharu akan
berdepan dengan isu ketidakstabilan yang berpanjangan kerana kerajaan tersebut
mempunyai majoriti yang kecil. Ia akan mengulangi semula suasana politik semasa
pemerintahan Perikatan Nasional yang menyaksikan Parlimen digantung. Tanpa
majoriti yang besar, Perdana Menteri akan sentiasa terancam dengan usul undi
tidak percaya.
Beberapa insiden akhir-akhir ini turut merosakkan peluang PN untuk
mendapatkan kerjasama Raja-raja sekiranya pertukaran kerajaan hendak dilakukan.
Ucapan Menteri Besar Kedah yang menimbulkan kemarahan Dewan Diraja Selangor dan
sikap Presiden Pas terhadap titah arahan Sultan Terengganu telah menjejaskan
kedudukan PN di mata Raja-raja.
Keadaan sekarang adalah agak ironi, kerana sementara PN mendakwa
bahawa mereka adalah pejuang Melayu dan Islam, Gabungan Perpaduan pula
mengambil peranan sebagai pelindung kepada institusi Raja-raja Melayu.
3. Survival UMNO
Dalam membuat keputusan untuk menyertai sesuatu gabungan,
persoalan survival masa depan sesuatu parti dan kemampuannya untuk kekal
relevan harus dipertimbangkan dengan teliti. Dalam soal ini, pertaruhan terbaik
bagi UMNO untuk kekal relevan bagi jangkamasa panjang adalah bersama Kerajaan
Perpaduan.
Jika ia bersama Pas dan Bersatu, ia akan dibayangi oleh dua buah
parti tersebut yang merupakan pesaing-pesaing bagi UMNO dalam merebut undi
daripada segmen pengundi Melayu. Sejak menyertai Kerajaan Perpaduan, UMNO telah
bergerak untuk kembali menjadi sebuah parti yang moderat iaitu imej yang telah
memberikannya banyak kejayaan selama lebih enam dekad.
Dengan berada di koridor kuasa di Putrajaya, UMNO dapat mengatasi
Pas dan Bersatu yang berstatus parti pembangkang. UMNO berpeluang untuk membina
semula pengaruhnya melalui kementerian dan agensi yang berhubung terus dengan
masyarakat Melayu.
Sebagai tanda penghargaan kepada UMNO, Anwar Ibrahim telah
memberikan kepada UMNO sebuah kementerian yang amat penting dalam politik
Melayu iaitu Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. Ia menggambarkan bahawa
Anwar Ibrahim mahu melihat UMNO kembali kuat dalam meraih sokongan orang
Melayu.
Dalam perebutan pengaruh di kalangan parti-parti berteraskan Melayu,
kewujudan tiga buah parti Melayu dianggap terlalu menyesakkan. Ianya bagaikan
tiga ekor ikan besar yang berada di dalam kolam yang sama. Salah satu parti
biasanya tidak akan mampu bertahan lama sepertimana yang berlaku kepada Parti
Melayu Semangat 46 pada tahun 1990-an.
Oleh itu, matlamat jangkamasa panjang UMNO ialah untuk memastikan
yang Bersatu tidak dapat bertahan selepas PRU-16. Itu hanya boleh menjadi
kenyataan dengan memastikan yang Bersatu akan terus dijauhkan daripada
mendekati koridor kuasa sehingga PRU akan datang. Dalam keadaan Bersatu tidak
mempunyai bakal pengganti yang mempunyai kaliber seperti Muhyiddin Yassin,
survival Bersatu akan menjadi tanda tanya jika ia tewas sekali lagi pada
PRU-16.