Nik Hasyudeen
Di dalam perbicaraan kes SRC International, dinyatakan jumlah wang yang sebenarnya terlibat ialah RM 4 bilion yang asalnya adalah sukuk-sukuk yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen untuk dilaburkan di dalam “projek tenaga”. Sampai sekarang tak ada maklumat yang jelas apakah projek tenaga itu dan dimanakah letaknya.
Menurut Tinjauan Fiskal kerajaan yang terkini, sukuk-sukuk ini telah dibayar oleh kerajaan Malaysia. Ini bermakna, kita semua adalah pihak yang menanggung kerugian dari pelaburan ini, melainkan Kementerian Kewangan boleh menerangkan apakah aset atau harta yang berjaya diselamatkan.
Oleh kerana di dalam perbicaraan kes SRC, jumlah yang terlibat di dalam pendakwaan hanyalah RM 42 juta, mungkin ada di antara ahli masyarakat yang terkabur matanya dan berasa jumlah ini kecil. Ini menyebabkan mereka juga berasa kita boleh sahaja memaafkan orang-orang yang terlibat.
Hutang kerajaan Persekutuan sekarang bersekali dengan komitmen jaminannya sudah mencapai RM 1.5 trilion. Di dalam Belanjawan 2023, kerajaan memperuntukkan RM 46 bilion untuk membayar hutang. Menurut kenyataan kerajaan, jumlah berkenaan hanya untuk bayaran faedah atau kos hutang, bukan pokoknya. Jika perbelanjaan pembangunan yang hampir RM 100 bilion itu dibiayai hampir sepenuhnya melalui hutang, jumlah hutang dan komitmen kerajaan akan naik menghampiri RM 1.6 trilion menjelang akhir tahun ini.
Jadi, mengikut gambaran besar dan “scheme of things”, bukan sahaja RM 4 bilion yang digunakan untuk membayar sukuk-sukuk KWAP itu satu jumlah yang besar, kerajaan juga kena membayar kos sukuk-sukuk berkenaan disebabkan keadaan keberhutangan sekarang ini. Pada kadar 3% setahun, itu sudah berjumlah RM 120 juta setahun, lebih besar dari jumlah yang dibicarakan di dalam kes SRC.
Ini satu beban besar kepada pembayar cukai Malaysia dan warga negara lain.
Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini marilah kita berdoa agar kita semua sebagai pembayar cukai dan rakyat diberikan keadilan di dalam kes-kes sebegini, di dunia dan akhirat.