Apa mereka buat apabila tahu Bos nombor 1 mereka sesat?

 

Nik Hasyideen.


Apa mereka buat apabila tahu Bos nombor 1 mereka sesat?


Firaun mempunyai ramai tukang-tukang sihir. Apabila Firaun mahu membuktikan bahawa Nabi Musa AS hanya sembang kari, dia menganjurkan perlawanan di antara Nabi Musa dengan tukang-tukang sihirnya itu.


Kita semua tahu kisah ini. Apabila ternyata bahawa Nabi Musa membawa mukjizat, bukannya sekadar silap mata untuk menceriakan dan membahagiakan orang ramai, ahli-ahli sihir Firaun membelakangkan bos mereka dan beriman. Mereka tidak mencari dalil dan alasan untuk terus membenarkan bos mereka dengan pelbagai laungan memuji dan memujanya.


Sebagai bos nombor 1, Firaun kena tunjukkan dialah bos. Kaki dan tangan ahli-ahli sihir kebangaannya itu dipotong secara bersilang. Matilah mereka sebagai hamba Allah yang beriman.


Ada satu lagi kumpulan manusia yang melihat pelbagai mukjizat Nabi Musa. Bani Israel, kaum yang dihamba-hambakan oleh Firaun. Apabila Nabi Musa membebaskan mereka dari Firaun, mereka menghadapi detik-detik getir terperangkap di antara lautan dan Firaun. Di sinilah mereka nampak laut terbelah, dapat menyeberang dengan selamat dan Firaun dan bala tenteranya lemas apabila laut kembali bertaut.


Bukan sekadar itu, Allah menjamu mereka dengan makanan dari syurga. Namun, hamba boleh dibebaskan dari segi fizikal tetapi menteliti hamba bukan mudah dicabut dari jiwa-jiwa mereka. Diminta mahu makan sayuran yang merupakan makanan hamba mereka, bukannya “mann dan salwa” yang istimewa itu. Disembahnya patung lembu walaupun Nabi Musa meninggalkan mereka hanya seketika.


Kisah ini seharusnya memberikan kita kesedaran bahawa kehidupan adalah pilihan. Apabila nampak kebenaran, ada yang memilih pendekatan ahli sihir Firaun dan ada yang memilih pendekatan Bani Israel. Tentunya kedua-dua pilihan ini akan membawa kepada pengakhiran yang berbeza di akhirat kelak.


Diberikan keupayaan untuk mampu membezakan di antara apa yang benar dan apa yang batil adalah satu nikmat besar di zaman ini yang mana ada pelbagai jenis maklumat, dakwaan dan dakyah. Namun, bagi saya, nikmat yang lebih besar ialah mampu memilih pendekatan dan tindakan yang benar juga, walaupun secara fizikalnya nampak macam sengaja mencari bala dan melawan arus popular. Siapa di antara kita yang berani menanggung risiko seperti tukang-tukang sihir Firaun itu? Kena acah buang kerja atau tak naik pangkat pun dan kendur lutut dan mulalah mencari dalil untuk mengikut sahaja arahan yang batil.


Semoga di peringkat akhir Ramadhan ini Allah SWT memperteguhkan iman kita dan memberanikan kita untuk memilih apa yang benar walaupun ianya tidak popular dah boleh membahayakan kita.


والله أعلم