UNTUK MAMPU BANGKIT SEMULA LIMA TAHUN AKAN DATANG, UMNO WAJIB TOLAK BERSAMA PN DAN MAHIADDIN

 

Dalam keadaan kritikal sebelum jam 2 petang esok sebagaimana yang dikehendaki Istana Negara bagi urusan pembentukan sebuah kerajaan baharu, pendirian dan sokongan BN adalah penentu segala-galanya.

Jika BN yang mempunyai jumlah 30 Ahli Parlimen memutuskan untuk bersama PN yang sudah disokong GPS dari Sarawak dan GPS dari Sabah, maka PNlah yang akan menjadi kerajaan, sekaligus menyaksikan Mahiaddin Md Yasin yang gagal teruk sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan sebelum ini kembali semula memegang jawatan tersebut.

Berbeza dengan Tun Mahathir Mohamad yang berjaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua pada 2018 dulu kerana rekod kejayaannya, Mahiaddin akan tercatat dipilih buat kali kedua juga, tetapi kerana rekod kegagalannya.

Sebaliknya jika BN memilih menyokong PH yang memiliki 82 Ahli Parlimen, maka PHlah yang akan menjadi kerajaan, seterusnya meletakkan Anwar Ibrahim yang dikenali di seluruh dunia sebagai Perdana Menteri.

Apa pilihan yang terbaik bagi BN?

PRU15 menyaksikan BN mencatat sejarah terburuk dengan hanya mampu menang 30 kerusi Parlimen dan hanya 26 daripadanya mewakili UMNO.

Secara umumnya, UMNO begitu ditolak dan mahu tidak mahu, ia perlu bangkit semula dalam PRU16 pada lima tahun akan datang jika tidak mahu terkubur terus.

Untuk mampu bangkit semula, UMNO dan BN tidak boleh memilih untuk bersama PN kerana di dalam gabungan itu terdapat Bersatu dan Pas yang bukan saja merupakan musuhnya, bahkan bertanding di kawasan Melayu yang sama.

Kalau memilih untuk berada di bawah taklukan PN yang dalam kedaaan sekarang Pas dan Bersatu lebih dominan daripada UMNO, ini bererti UMNO sengaja memilih jalan menguncup bagi perjalanannya dalam lima tahun akan datang.

Berapa kerusi UMNO mahu bertanding dalam PRU16 jika berlaku pembahagian kerusi dengan Bersatu dan Pas untuk mengekalkan dominasi kerajaan?

Lebih daripada itu, Pas dan Bersatu pasti akan terus menekan UMNO supaya UMNO terus berada di bawah kawalan mereka dengan hanya menjadi parti ketiga dalam kerajaan.

Tidak malukah UMNO diperlakukan itu?

Selain itu, dengan bersedia menyokong PN dan meletakkan kembali Mahiaddin sebagai Perdana Menteri, ini juga adalah lawak antarabangsa paling kelakar sekali dalam sejarah dunia.

Sebelum ini UMNO sendiri menarik sokongan dan menjatuhkan Mahiaddin, kini mereka pula menaikkan kembali Ahli Parlimen Pagoh yang melalui Bersatu yang dipimpinnya memang mahu “membunuh” UMNO itu sebagai Perdana Menteri.

Daripada UMNO sedia menyokong PN, Bersatu dan Mahiaddin yang mahu “membunuh” UMNO itu, lebih baik UMNO membubarkan saja dirinyadan menyertai Bersatu secara beramai-ramai.

Dalam apa juga keadaan, keputusan UMNO jika memilih untuk bersama dan menyokong Mahiaddin, ia adalah tindakan “bunuh diri” yang bukan saja dilakukan secara terang-terangan, bahkan sengaja dipancarkan pula secara “live” ke seluruh dunia.

Tidak malukah UMNO?

Tidak kurang buruknya juga, Zahid Hamidi sebelum ini turut memfailkan saman terhadap Mahiaddin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan bekas Perdana Menteri itu untuk menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih berjalan di mahkamah.

Di mana maruah Zahid Hamidi jika sekarang beliau tiba-tiba setuju pula mengangkat Mahiaddin yang disamannya itu sebagai Perdana Menteri?

Untuk itu, pilihan paling terbaik dan wajar bagi UMNO dan BN hanyalah dengan memilih untuk bersama PH bagi membentuk kerajaan baharu.

Dengan bersama PH, UMNO mampu mempersiapkan dirinya untuk bangkit semula dalam tempoh lima tahun akan datang kerana tiada persaingan serta konflik berebut kerusi bersama gabungan itu dalam PRU seterusnya.

Oleh kerana PH tidak pernah ada niat mahu “membunuh” UMNO, berada bersamanya adalah langkah paling selamat bagi tujuan untuk bangkit semula itu dan jadikanlah kedudukan dalam kerajaan itu untuk matlamat tersebut.

Lebih penting, hanya dengan BN bersama PH sajalah yang mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang sederhana dan diterima di peringkat antarabangsa setelah imej kerajaan campuran sebelum ini begitu buruk di mata rakyat dan dunia.

Pas yang menguasai PN sekarang, walaupun Mahiaddin sebagai Perdana Menteri, kerajaan yang terbentuk nanti adalah kerajaan yangbultra, rasis dan suka bermusuh, bukan saja dengan bukan Islam, malah sesama Islam yang tidak sebulu dengan mereka.

Pokoknya, kedudukan PN dengan penguasaan Pas ini adalah tidak harmoni untuk masa depan negara, selain lemah dengan barisan kabinet daripada parti tersebut yang terbukti tiada kemampuan dan wibawa dalam bidang pentadbiran

Pimpinan UMNO sendiri sebelum ini kerap kali mengecam menteri-menteri Pas sebagai gagal dan tidak berwibawa.

Kepada UMNO, sementara laluan untuk bangkit semula sentiasa ada, kenapa perlu pilih “bunuh diri”? – ShahbudinHusin 20/11/2022.




No comments: