MAHIADDIN PATUT MALU MENONJOLKAN DIRI MAHU JADI PERDANA MENTERI SEKALI LAGI




Walaupun PN hanya menang 73 kerusi Parlimen berbanding PH yang mendapat 82 kerusi, tetapi nampaknya yang paling awal menonjolkan diri untuk menjadi Perdana Menteri ialah Mahiaddin Md Yasin.

Realitinya bukan saja PN sekadar mendapat tempat kedua daripada segi bilangan Ahli Parlimen, malah dalam PN juga, jumlah kerusi Parlimen Bersatu yang menang juga berada di kedudukan kedua berbanding Pas yang memperolehi jumlah lebih tinggi.

Makna kata, selain PN berada di tempat kedua di belakang PH dalam persaingan liga PRU15, di peringkat dalaman PN pun Bersatu berada di tempat kedua juga di belakang Pas.

Kalau pun Mahiaddin tak rasa malu kepada Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH yang berada di tempat pertama lantaran lebih dulu menonjol-nonjolkan untuk jadi Perdana Menteri, beliau patut ada sedikit malu kepada Presiden Pas, Hadi Awang yang partinya menang paling banyak kerusi itu.

Manalah tahu, entah-entah Hadi pun teringin juga nak menginap di Seri Perdana.

Sikap gelojoh dan kalut Mahiaddin untuk jadi Perdana Menteri, di samping mengalahkan Anwar yang nampak tenang dan relaks, malah macam gelojoh orang bujang yang tak sabar berbini.

Keghairahan dan kegelojohan Mahiaddin menonjol-nonjolkan dirinya mahu menjadi Perdana Menteri ini sebenarnya amat menjengkelkan rakyat Malaysia.

Beliau tidak sepatutnya bersikap terlalu gelojoh dan kalut untuk jadi Perdana Menteri kerana ada orang lain yang lebih berhak daripadanya.

Lebih menjengkelkan, di sebalik kegelojohan itu, rekod buruk beliau sebagai Perdana Menteri selama 17 bulan sebelum ini masih menjadi igauan ngeri bagi rakyat negara ini.

Dalam hal ini, semacam Mahiaddin masih tidak sedar diri dan kegagalannya itu langsung tidak menginsafkan dirinya.

Tanpa sebarang rekod kejayaan, negara menjadi suram dan Parlimen didaruratkan, kecuali berjaya mencatat rekod sebagai Perdana Menteri paling banyak mengadakan perutusan khas melalui televisyen, perkara itu sepatutnya membuatkan Mahiaddin malu untuk menawarkan diri jadi Perdana Menteri sekali lagi.

Sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri juga Mahiaddin langsung tidak mesra media dan takut berdepan soal jawab wartawan di sebalik kekerapannya muncul melalui perutusan khas itu.

Hanya setelah dijatuhkan dan memegang jawatan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, barulah beliau berubah sikit jadi mesra media dan selalu pula mengadakan sidang akhbar terbuka.

Ehhh…semua itu sudah terlewatlah!!

Berdasarkan hakikat itu, jika kembali jadi Perdana Menteri, ada kemungkinan Mahiaddin jadi tertutup semula selepas ini, terutama kepada pihak media.

Yang nyata, dengan rekod kegagalannya itu, tiada jaminan beliau mampu mentadbir negara dengan lebih baik dan membawa Malaysia keluar daripada pelbagai kemelut yang melanda ketika ini.

Bahkan, Malaysia mungkin berdepan mala petaka lebih buruk yang tak terjangka. – ShahbudinHusin 21/11/2022.



No comments: