Kenyataan berbaur hasutan, tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif oleh bekas PM

 

Kenyataan berbaur hasutan, tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif oleh bekas PM

Sungguh memalukan bagaimana beliau menggunakan kad kaum dan agama bagi meraih undi

Mahiaddin Yasin

Join us on Telegram and Instagram for the latest.

Aliran terkejut dengan kenyataan dikeluarkan yang tidak bertanggungjawab dan tidak sensitif yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Mahiaddin Yasin, yang mendakwa penganut Kristian di Malaysia bertindak bersama kumpulan orang Yahudi untuk mempromosi dan mengkristiankan Malaysia.

Sebagai seorang ahli politik kanan, beliau sepatutnya lebih cermat untuk tidak menimbulkan ketakutan dan kebimbangan di kalangan penduduk Melayu-Islam. Kenyataan beliau yang menggesa hadirin supaya tidak mengundi parti politik tertentu bertujuan untuk menambah kecurigaan dan ketidakpercayaan yang mungkin ada di kalangan umat Islam terhadap orang Kristian dan Yahudi.

Ini sungguh tidak wajar dan tidak boleh diterima sama sekali. Kesan daripada kenyataan yang tidak berasas dan cuai itu menyebabkan perpecahan dan menjejaskan hubungan aman harmoni yang dinikmati oleh kebanyakan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Adalah memalukan bahawa beliau perlu menggunakan kad kaum dan agama bagi meraih undi untuk partinya.

Jelas, beliau telah melanggar Seksyen 4A (Kesalahan mempromosi perasaan jahat atau permusuhan) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. Kami menggesa pihak berkuasa yang berkenaan, seperti polis, untuk menyiasat sepenuhnya sumber dan asas kenyataannya. Sekiranya tidak ada asas yang kukuh untuk kenyataan yang memecahbelahkan itu, maka tindakan sewajarnya harus diambil terhadapnya, termasuk kehilangan kelayakannya.

Di Aliran, kami menggalakkan keamanan, kebebasan dan perpaduan. Kenyataan Mahiaddin yang tidak wajar ini adalah bertentangan dengan apa yang kami perjuangkan.

Jawatankuasa eksekutif Aliran
18 November 2022

No comments: