Peguam Najib kata RM60.6j hadiah Saudi, tapi saksi tak dapat sahkan

 

Pemindahan kira-kira RM60.6 juta ke dalam akaun peribadi Bank AmIslamic Datuk Seri Najib Razak pada 2011 sebenarnya adalah sebahagian daripada ‘hadiah’ yang dijanjikan sebanyak AS$100 juta yang dibuat oleh keluarga diraja Arab Saudi, dakwa peguam bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Peguam bela Wan Aizuddin Wan Mohammed berkata demikian ketika perbicaraan anak guamnya berhubung penyelewengan RM2.28 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut MalayMail.

Beliau menyoal balas Pengurus Bank AmIslamic cawangan Jalan Raja Chulan, R Uma Devi yang memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan ke-37 dan bertanya kepadanya mengenai wang berjumlah lebih RM60.6 juta yang masuk ke akaun AmIslamic Najib dengan nombor akaun berakhir 9694 melalui dua transaksi sebanyak RM30,449,929.97 pada 24 Februari 2011 dan RM30,179,909.46 pada 14 Jun 2011.

Memetik laporan akhbat berbahasa Inggeris itu, Wan Aizuddin mengemukakan kepada mahkamah sepucuk surat bertarikh 1 Februari 2011 yang didakwa ditandatangani oleh Saud Abdulaziz Al-Saud dan ditujukan kepada Najib.

Beliau juga membacakan keseluruhan surat itu, termasuk bahagian di mana pengirim memberitahu Najib: “Memandangkan persahabatan yang telah kita bina selama ini dan idea baharu anda sebagai pemimpin Islam moden, saya dengan ini menghadiahkan anda sejumlah Dolar Amerika Syarikat Seratus Juta (AS$100,000,000) Sahaja (“pemberian”) yang akan dihantar kepada anda pada masa dan dengan cara yang saya anggap sesuai”.

Aizuddin: Sekarang melihat surat ini, 1 Februari 2011, apa yang orang ini katakan pada dasarnya, dia menghantar wang berjumlah AS$100 juta, ini yang tertulis dalam surat itu, ya? Adakah anda bersetuju?

Uma Devi: Ya.

Wan Aizuddin cuba mencadangkan dua transaksi berjumlah RM60.6 juta pada 2011 adalah sebahagian daripada ‘hadiah’ yang dijanjikan AS$100 juta, tetapi Uma Devi menjawab bahawa dia setakat ini, tidak dapat membuat kesimpulan atau pengesahan sedemikian hanya berdasarkan dokumen yang ditunjukkan kepadanya.

Aizuddin: Dan berdasarkan penyata akaun dan dua transaksi yang saya tunjukkan kepada anda bersama-sama dengan dokumen SWIFT, anda akan bersetuju dengan saya, ada kemungkinan atau lebih tepat kesimpulan yang tidak dapat dinafikan bahawa ini akan menjadi sebab mengapa wang itu dihantar – ia adalah pemberian peribadi, itu derma?

Uma Devi: Saya tidak boleh membuat kesimpulan dengan cara itu, kerana pertama sekali, jumlahnya berbeza. Dan saya tidak pasti sama ada ini telah diberikan kepada bank sebelum urus niaga… jadi saya tidak boleh membuat kesimpulan bahawa, saya tidak boleh mengesahkannya.

Wan Aizuddin kemudian mencadangkan sekiranya surat itu dilihat oleh kakitangan AmBank, bank itu akan sedar bahawa RM60.6 juta yang dihantar ke akaun Najib pada 2011 “sebenarnya dari Arab Saudi dan sebenarnya sebahagian daripada pemberian yang telah dijanjikan oleh keluarga diraja Saudi”. Tetapi Uma Devi menjawab: “Saya tidak tahu”.

Antara lain, surat yang didakwa bertarikh 1 Februari 2011 kepada Najib mengenai ‘hadiah’ AS$100 juta menyatakan:

“Surat ini dikeluarkan sebagai tanda niat baik dan untuk penjelasan, saya tidak menjangkakan akan menerima sebarang faedah peribadi sama ada secara langsung atau secara tidak langsung akibat daripada pemberian tersebut.

“Hadiah itu tidak sepatutnya ditafsirkan sebagai satu perbuatan rasuah kerana ini bertentangan dengan amalan Islam dan saya secara peribadi tidak menggalakkan amalan sedemikian dalam apa cara sekalipun.

“Ini hanyalah tanda penghargaan peribadi dan saya berharap pemberian ini akan menggalakkan anda untuk meneruskan kerja baik anda untuk mempromosikan Islam di seluruh dunia.”

Wan Aizuddin tidak menyatakan siapa Saud Abdulaziz Al-Saud, tetapi merujuk kepada hadiah yang didakwa sebagai dijanjikan oleh kerabat diraja Saudi.

Perbicaraan 1MDB Najib di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.