Dasar industri pertahanan bantu rancakkan ekonomi negara, kata Hishammuddin.
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (Kementah) akan melancarkan dasar industri pertahanan dalam usaha memastikan sektor pertahanan turut menyumbang kepada ekonomi negara.
Menterinya, Hishammuddin Hussein berkata langkah itu diambil memandangkan kementerian tersebut sebelum ini antara yang mendapat peruntukan belanjawan paling tinggi, namun tidak membantu meningkatkan prestasi ekonomi negara.
Sehubungan itu Hishammuddin berkata, kementeriannya beriltizam memberi sumbangan kepada negara, bukan sahaja dari segi keselamatan dan pertahanan, sebaliknya akan membantu memberi pulangan kepada ekonomi negara melalui dasar tersebut.
“Kadangkala hujah kepada Kementah (dalam permohonan belanjawan negara) adalah kita tak bawa pulangan kepada ekonomi negara. Jumlah peruntukan Kementah besar tapi tak membantu tingkatkan prestasi ekonomi negara.
“Sebab itu saya putuskan bahawa tidak lama lagi kita akan lancarkan dasar industri pertahanan, di bawahnya akan memberi tumpuan merancakkan sektor industri pertahanan kita. Kita akan buktikan pulangan kepada negara bukan sahaja dari segi keselamatan dan pertahanan, tetapi membantu perkukuh ekonomi,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat Majlis Veteran Kebangsaan di Wisma Pertahanan.
Ditanya mengenai pembentangan Bajet 2023 minggu depan, Hishammuddin berharap Kementerian Kewangan terus memberikan peruntukan sewajarnya kepada kementerian itu kerana negara tidak boleh berkompromi mengenai isu keselamatan dan kedaulatan negara.
“Saya harap Kementerian Kewangan tetap memahami isu keselamatan dan pertahanan adalah perkara yang tak boleh dinilai dengan wang ringgit,” katanya.
Dalam pada itu, Kementah dalam proses untuk menstrukturkan semula Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) agar lebih berfokus dan realistik.
Kata Hishammuddin, penstrukturan semula itu akan memfokuskan kepada usaha dalam mendepani keperluan serta isu-isu semasa Veteran ATM yang semakin mencabar mengikut peredaran semasa.
“Usaha penstrukturan ini turut mempertimbangkan keperluan untuk melibatkan pemegang taruh pihak ketiga (3rd party stakeholder) di dalam majlis agar keputusan dibuat dapat menghasilkan kesan dan impak tepat buat Veteran ATM di tanah air,” katanya sambil memaklumkan langkah itu penting mengambil kira sejumlah 300,000 veteran anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).