Anwar mahu lebih tegas dengan Dr Mahathir kerana tak pernah insaf


 

Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan Tun Dr Mahathir Mohamad masih dianggap sebagai seteru utamanya dan akan lebih tegas bagi menghadapi bekas Perdana Menteri dua kali tersebut.

Presiden PKR itu nampaknya tidak boleh menerima tindakan Ahli Parlimen Langkawi tersebut yang memungkiri janjinya sebelum ini untuk menyerahkan jawatan nomnbor satu kepadanya, malah menyifatkan seteru lamanya itu tidak pernah insaf.

“Mahathir kalau dia hentam saya 10 kali, saya jawab sekali.

“Sekarang saya akan tegas sikit kerana kawan ini, dia (Mahathir) tidak pernah nak insaf,” katanya dipetik laporan media.

Anwar mengimbas kembali episod pemecatannya sebelum ini semasa krisis politik pada 1998 lalu sehingga disumbat masuk penjara, ia kemudiaannya reda selepas bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) sehingga kerajaan UMNO tumbang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Namun, kedua-duanya kembali menjadi seteru selepas Anwar tidak dapat menjadi Perdana Menteri susulan keputusan peletakan jawatan sebelum ini sehingga menyebabkannya sekali lagi gagal menjadi pemimpin nombor satu negara.

“Sebab itu saya minta rakyat sokong saya kerana saya rasa, saya buat perubahan dan kebaikan, tapi kalau saya dendam, nak tendang orang, nak zalim pada orang, saya tidak setuju. Walaupun orang itu zalim kepada saya, tetapi saya tidak,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar juga mempertahankan layanan istimewa yang didakwa diberikan kepada Datuk Seri Najib Razak semasa menjalani hukuman penjara kerana setiap banduan perlu diberikan layanan yang sama adil dengan mengambil kira faktor kemanusiaan.

“Perlukah Najib dilayan sebegitu rupa? Tidak. Saya tidak setuju. Tak payahlah letak atas simen, bagilah katil. Sebab apa? Sebab kita kena ada tekad moral lebih baik, lebih tinggi,” katanya.

Untuk rekod, Najib ketika ini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun dan baru-baru ini tular dalam media sosial dengan kod nama “merpati” diberikan layanan istimewa dengan pelbagai kemudahan.

Selain itu, Najib juga sebelum ini bersama-sama dengan anak murid Anwar, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah menghantar surat kepada pihak Istana Negara bagi menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri sehingga menimbulkan krisis politik dan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.