Jenayah penipuan kewangan atas talian yang semakin berleluasa sewajarnya ditangani segera oleh Kerajaan BN - PN.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Malaysia, Fahmi Fadzil, jenayah tersebut sehingga kini telah menyebabkan 20,000 mangsa ditipu saban tahun dengan jumlah kerugian mencecah RM660 juta.
Katanya, rakyat hairan melihat kerajaan Malaysia seolah olah tidak mempunyai cara untuk menangani jenayah berkenaan sedangkan kerajaan negara jiran telah memperkenalkan undang undang yang lebih ketat.
Tegas Fahmi, jenayah penipuan atas talian tidak akan berjaya dibanteras jika kerajaan hanya mengeluarkan panduan kepada orang awam bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
"Memang ada langkah-langkah yang perlu diambil oleh pendeposit atau pemegang akaun, contohnya dengan tidak menekan sebarang pautan dari pihak yang tidak diketahui atau memuat turun sebarang aplikasi yang tidak menggunakan Apple App Store, Google Play atau Huawei AppGallery.
"Tetapi pihak Kerajaan dan juga bank-bank mempunyai kewajipan moral untuk mengambil tindakan proaktif, kerana jenayah-jenayah scammer ini berasaskan penipuan atau penyamaran identiti yang berniat jahat," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, tengah hari tadi.Sehubungan itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu mencadangkan 7 tindakan yang perlu diambil oleh pihak berkuasa bagi membantu mangsa, memperkemas sistem dan mengelak lebih ramai lagi rakyat yang menjadi mangsa scammer.
"Pertama, mewujudkan pusat sehenti bantuan mangsa scammer yang melibatkan agensi-agensi berkaitan termasuk SKMM, PDRM, BNM, ABM, AIBIM, Jabatan Peguam Negara dan lain lain. Sekurang-kurangnya tiga tempat, di Kuala Lumpur, Kota Kinabalu dan Kuching, serta satu pusat koordinasi anti-scammer pelbagai agensi berpangkalan secara fizikal di Bank Negara Malaysia
"Kedua, mengubah sistem pengesahan bagi perbankan dalam talian iaitu dari SMS TAC kepada sistem yang lebih selamat dan tepat identiti, contohnya pengesahan berdasarkan hanya peranti-peranti yang didaftar pemilik akaun dengan bank, serta mengarah bank-bank atau institusi kewangan untuk melakukan pengesahan secara panggilan bagi transaksi yang melibatkan jumlah besar, berulang atau transaksi di luar kebiasaan aktiviti akaun bank tersebut," katanya.
Kepada pihak perbankan, Fahmi mencadangkan agar diwujudkan satu mekanisme pampasan seperti Dana Pemulihan (Recovery Fund) yang sedang diusahakan Monetary Authority of Singapore.
Katanya, melalui dana itu mangsa scammer yang disahkan akan dapat bantuan pampasan sebaik mungkin. Juga kerajaan perlu meminda akta-akta berkaitan, contohnya Akta Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (Akta 642) supaya PIDM dapat menjamin atau menyediakan insuran dan pampasan bagi simpanan yang terkesan dengan jenayah scammer.
Fahmi juga mencadangkan agar kerajaan mengarahkan semua syarikat telekomunikasi untuk membuat hebahan khidmat awam melalui panggilan telefon mirip skrip dan dialog scammer dengan amaran untuk tidak mengendahkan panggilan pangilan scammer seperti itu.
"Selain itu, bank-bank dan serta mana-mana institusi kewangan lain yang terbabit dengan transaksi kewangan dalam talian (contohnya e-wallet) untuk menerbitkan di dalam laporan tahunan masing-masing jumlah kes scam serta jumlah yang dicuri berdasarkan laporan polis, supaya pemegang saham dan orang ramai tahu keadaan sebenar bagi setiap bank atau e-wallet serta dapat membuat keputusan yang bijak berkaitan simpanan mereka
"Kerajaan juga perlu mengadakan perbincangan dengan pengusaha platform digital media sosial yang paling kerap disalahguna oleh scammer untuk aktiviti jenayah bagi mengambil langkah-langkah pantas menghalang platform-platform tersebut daripada terus disalahguna untuk aktiviti scammer," katanya.
Pihak penguatkuasa pula, kata Fahmi, perlu segera mengenalpasti, menahan dan mendakwa di mahkamah mereka yang terlibat daalm panggilan scammer, menempat atau melindungi penjenayah scammer, serta merancang aktiviti scammer, termasuk dengan mendapatkan kerjasama ASEAN dan Interpol bagi menahan dan mengekstradisi penjenayah-penjenayah tersebut jika panggilan atau aktiviti jenayah scammer berpangkalan di luar negara.
"Saya berharap tujuh langkah ini akan dapat dilaksana segera bagi membantu memastikan duit simpanan rakyat kekal selamat, dan kepercayaan rakyat terhadap sistem perbankan dalam talian tidak luntur," kata Fahmi lagi.
Sidang media aitu juga turut mendedahkan mangsa terbaharu penipuan kewangan atas talian dari kumpulan Scam Victim Support yang mendedahkan setiap minggu mangsa dan taktik penipuan terbaharu scammer.