Rakyat Malaysia rugi RM5.2 bilion akibat scammers, perlu tunggu 2 tahun lagi untuk banteras?



 


Rakyat malaysia telah menderita kerugian berbilion ringgit akibat jenayah penipuan kewangan atas talian.


Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Lee Chean Chung, kerajaan perlu melakukan tindakan segera menumpaskan penjenayah yang telah menggunakan big data dan teknologi terkini dalam menipu orang awam itu.


Katanya, sangat tidak boleh diterima kerajaan harus mengikut keutamaan dan perlu tempoh lebih lama dalam memperoleh teknologi terkini bagi menentang operasi jenayah berkenaan.


"Sindiket penipuan kewangan online ini sudah menguasai big data dan mampu melakukan penipuan secara bersasar.


"Teknologi dan sistem terkini diperlukan untuk membanteras penipuan sindiket yang makin sofistikated ini. Malangnya, mengikut kenyataan SAC (B) Datuk Ahmad Nordin Ismail, Pengerusi Persatuan Pengguna Siber Malaysia dan bekas Timbalan Pengarah (Siasatan, Jenayah Siber dan Multimedia) di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, mereka terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum satu-satu perolehan perkakasan dan sistem yang mengawal keselamatan siber diluluskan oleh kementerian dan seterusnya diterima.


"Karenah birokrasi ini tidak boleh diterima sama sekali. Malaysia sudah mengalami kerugian sebanyak RM5.2 bilion daripada 2020 hingga Mei 2022, bersamaan dengan kerugian RM5.2 juta setiap hari, ataupun RM218 ribu setiap jam.


"Adakah kita perlu menunggu 2 tahun lagi untuk melihatkan penambahbaikan? Pastinya teknologi sindiket menjadi lebih canggih pada masa itu dan terus menyulitkan kerja melawan jenayah siber," katanya dalam sidang media mingguan berkenaan penipuan kewangan atas talian di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya, hari ini.


Bagaimanapun Chean Chung menganggap tindakan terbaharu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa yang cuba memanggil empat agensi di bawahnya, iaitu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Cyber Security Malaysia (Cyber Security) dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) untuk berbincang adalah baik walaupun sudah terlewat


Cuma katanya, tindakan secara runcitan dan diasingkan mengikut kementerian itu tidak akan membawa hasil yang terbaik.


Dalam hal ini, tegas Chean Chung, hanya kabinet dan Bank Negara Malaysia (BNM) sahaja yang mempunyai mandat untuk mengumpulkan segala pihak supaya tindakan kolektif boleh diambil dengan pantas.


Oleh itu, beliau menyarankan agar kerajaan Malaysia belajar daripada pihak berkuasa Singapura yang lebih pantas membenteras jenayah penipuan kewangan atas talian di republik berkenaan.


"Selepas tindakan drastik diambil oleh Money Authority of Singapore (MAS), dilihat kes jenayah telah pun dikurangkan sebanyak 80%.


"MAS menetapkan garis panduan supaya bank-bank komersil turut mengambil tanggungjawab yang sepadan dengan peranan mereka. Wakil kelima-lima bank utama di Singapura juga perlu menghantar wakil untuk bersiap siaga di Anti Scam Centre yang ditubuhkan oleh kerajaan," katanya.


Malangnya, kata penasihat #ScamVictimSupport itu, selepas RM5.2 bilion dilesapkan dan puluhan ribu rakyat ditipu, yang mana majoriti penipuan dilakukan di bawah nama agensi kerajaan, Malaysia masih belum mengambil tindakan seserius Singapura.


"Kita sepatutnya sedar bahawa tanah air kita diancam oleh anasir-anasir luar yang cuba merompak dan merampas titik peluh serta harta rakyat.


"Ribuan rakyat mengalami kemurungan dan penyakit mental akibat penipuan-penipuan yang tidak terhenti-henti ini. Perperangan ini memerlukan semangat dan perpaduan semua pihak supaya integriti dan imej negara kita tidak tercalar," katanya lagi.


Tegas Chean Chung, diambang Hari Kebangsaan ini #ScamVictimSupport mendoakan supaya rakyat biasa dapat dibebaskan daripada ancaman dan serangan luar yang merosakkan kehidupan mereka.

No comments: