Import makanan RM55b setahun, pada 1970an Malaysia capai tahap sara diri makanan



Jaminan keselamatan makanan yang tidak berjaya dilaksanakan dengan baik oleh Kerajaan BN - PN seharusnya merisaukan rakyat.


Apatah lagi, menurut Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang, import makanan negara telah meroket tinggi sejak kebelakangan ini.


"Dari dulu sektor pertanian penyumbang besar kepada KDNK. Tahun 1970an sektor pertanian sumbang 30% KDNK. Oleh kerana mahu jadi maju dengan sektor pembuatan, pada tahun 2020 sumbangan sektor pertanian kepada KDNK hanya sekitar 7.4% sahaja. Ini bagi saya satu kesilapan sebab sektor pertanian memainkan peranan menstabilkan bekalan makanan.


"Tahap sara diri makanan juga kita hadapi masalah, mislanya beras. Kita sudah belanja berbilion ringgit kepada Bernas untuk bangun sektor padi tetapi pesawah masih golongan termiskin. Sekarang tahap sara diri beras cuma 63%. Maksudnya kita kena import 37% beras dari negara lain.


"Kalau kita tengok balik data sayur sayuran, tahap sara diri kita 52%, maksudnya perlu import dari negara lain. Ini satu data menakutkan. Apa terjadi jika negara pembekal sayur hadapi malapetaka dan mereka hentikan eksport?


"Daging pula tahap sara diri selepas kita beri pinjam ratusan juta NFC, tahap sara diri daging 22%. Statistik ini amat menakutkan dan membebankan negara kita.


"Contohnya pada 1998 kita import makanan RM10 bilion, pada 2020 makanan diimport RM55 bilion. Ini krisis yang bakal kita hadapi," katanya dalam program "Merdeka Talk: Reimagining Malaysia's Future" malam tadi.


Menururt beliau, keadaan agak sukar untuk Malaysia kembali mengeluarkan bekalan makanan sendiri kerana bahan mentah yang terpaksa diimport.


Negara katanya dalam tempoh 30 tahun tidak memajukan industri membuat baja dan dedak dalam negara sehingga semua terpaksa dibawa masuk


"Apa masalah kita? Kos pengeluaran kita sangat tinggi. Sebabnya kita sangat bergantung kepada pengimportan bahan mentah, dedak dan baja. Kita import pada 2020 RM4.6 bilion, baja RM3.2 bilion.


"Untuk maklumat, dalam industri penternakan ayam kos dedak 70% daripada kos keseluruhan. Kita ada masalah inflasi makanan kerana bergantung kepada bahan mentah dari luar negara," katanya lagi.


Selain itu, Ahli Parlimen Tanjung Malim itu juga menekankan mengenai jaminan makanan yang meliputi konsep keterkesediaan, akses, penggunaan dan bekalan.


Katanya, kerajaan perlu menjamin keempat empat isu itu boleh dilaksanakan dengan baik. Sekiranya salah satu gagal maka berlaku sama ada kenaikan harga atau kekurangan bekalan.