CUBAAN UNTUK MERENDAHKAN BADAN KEHAKIMAN

 

Mereka yang bocor dokumen penghakiman perlu dikenakan tindakan, kata 8 bekas presiden Majlis Peguam kepada Idrus



(Dari kiri) Zainur Zakaria, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari dan Ambiga Sreenevasan antara lapan bekas presiden Majlis Peguam yang mengeluarkan kenyataan bersama berhubung cubaan merendah-rendahkan badan kehakiman susulan pembocoran dokumen penghakiman.

PETALING JAYA: Lapan bekas presiden Majlis Peguam mahu peguam negara “membawa ke muka pengadilan” pelaku yang bertanggungjawab membocorkan dokumen penghakiman – masing-masing berlaku dalam kes di Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Tinggi.

Dalam kenyataan bersama, kesemua presiden terbabit merujuk insiden berkenaan sebagai “noda kepada pentadbiran keadilan”, sambil menggesa peguam negara mengambil tindakan segera demi memastikan “orang yang terbabit dalam perlakuan hina itu berdepan undang-undang sepenuhnya”.

“Sekiranya dibiarkan, mereka akan memberi mengakibatkan pentadbiran keadilan terhakis.”

Kenyataan itu ditandatangani Zainur Zakaria, Mah Weng Kwai, Kuthubul Zaman Bukhari, Yeo Yang Poh, Ambiga Sreenevasan, Lim Chee Wee, Steven Thiru dan George Varughese.

Mereka merujuk kepada dua dokumen penghakiman mahkamah yang dikaitkan dengan kes bekas perdana menteri, Najib Razak, dan isterinya, Rosmah Mansor, yang diterbitkan di portal Malaysia Today, dikendalikan blogger Raja Petra Kamarudin.

Dokumen bocor itu, kata mereka, merupakan cubaan jelas merendah-rendahkan keyakinan terhadap kehakiman dan boleh dilihat sebagai ugutan kepada para hakim.

Sebelum ini, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia (PKPMP) mengesahkan bahawa deraf kerja penghakiman bagi kes rayuan Najib yang telah bocor itu merupakan draf kerja yang “belum dimuktamadkan”.

Dalam pada itu, polis menyeru masyarakat untuk membuat laporan berhubung dakwaan kebocoran keputusan penghakiman kes perbicaraan rasuah Rosmah membabitkan projek solar bernilai RM1.25 bilion.

Kumpulan bekas presiden itu juga menolak dakwaan rasuah dibuat Najib terhadap bekas hakim Mahkamah Tinggi Nazlan Ghazali, sambil menyatakan Najib sendiri akhirnya menarik semula tuduhan itu dalam afidavit difailkan, pada 9 Ogos.

“Sukar untuk menemui fitnah yang lebih besar yang ditimbulkan terhadap hakim perbicaraan yang pada pandangan kami membawa kesan jenayah,” kata kumpulan itu sambil menambah Nazlan dan keseluruhan badan kehakiman berdepan serangan tidak berasas.

“Peguam negara perlu memandang berat kesan serangan terhadap badan kehakiman, memandangkan beliau sendiri merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan. Kami yakin beliau akan bertindak terhadap dakwaan palsu.”

Kumpulan itu juga menyatakan sokongan penuh kepada penyandang sedia ada, Karen Cheah, dalam menjunjung kebebasan badan kehakiman.

“Kita perlu bersama dengan Badan Peguam yang berterusan mempertahankan keberanian para hakim menjunjung sumpah tanpa takut atau berat sebelah.”


No comments: