RAFIZI RAMLI : SUBKONTRAKTOR CAD & CED MILIK MAJORITI BOUSTEAD TETAPI DIKAWAL BUKAN RAKYAT MALAYSIA

 



Dari Rafizi Ramli

11 Ogos 2022

SUBKONTRAKTOR CAD & CED MILIK MAJORITI BOUSTEAD TETAPI DIKAWAL BUKAN RAKYAT MALAYSIA

Saya telah mendedahkan bagaimana projek kapal perang LCS menggunakan dua lapis subkontraktor (iaitu CAD dan CED) sehingga menyebabkan kos naik tiga kali ganda (kos sebenar dari DCNS hanya RM397 juta tetapi yang dituntut dari kerajaan oleh subkontraktor adalah RM1.2 bilion).

Seperti yang diduga, Dato’ Seri Najib Razak dengan cepat menjawab bahawa subkontraktor Contraves Advanced Devices Sdn Bhd (CAD) dan Contraves Electrodynamics Sdn Bhd (CED) adalah syarikat-syarikat bersekutu LTAT.

Beliau langsung tidak menjawab isu komisen 200% yang saya timbulkan, cukup sekadar membayangkan dia tidak terbabit dalam skandal ini kerana subkontraktor CAD dan CED adalah syarikat-syarikat bersekutu LTAT.

Berikut adalah latar belakang pembabitan LTAT (melalui Boustead) di dalam CAD:

• Anak syarikat LTAT, Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) meluluskan pembelian saham 51% di dalam CAD pada 28 April 2010. 49% lagi saham CAD dimiliki oleh Rheinmetall Air Defence AG (RAD), sebuah syarikat kontraktor pertahanan dari Jerman yang dipegang melalui anak syarikat milik penuhnya RD Investment AG.

• Keputusan untuk membeli saham majoriti CAD itu dibuat di dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah BHIC bertarikh 28 April 2010, iaitu setahun setengah sebelum Kerajaan Malaysia melantik BNS menjadi kontraktor membangun dan membina 6 kapal perang LCS melalui satu surat lantikan (LOA) bertarikh 16 Disember 2011.

• Dalam perjanjian pembelian 51% pegangan dalam CAD bertarikh 13 Ogos 2010 di antara BHIC (melalui anak syarikatnya) dan RAD (melalui anak syarikatnya), BHIC bersetuju bahawa RAD yang mempunyai kawalan pengurusan (“management control”) ke atas CAD, walaupun CAD dimiliki secara majoriti oleh BHIC.

• Pengerusi Lembaga Pengarah BHIC yang bersetuju dengan keputusan tidak masuk akal ini adalah Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT yang diketahui umum cukup rapat dengan Najib Razak.

Ini adalah satu tindakan yang tidak masuk akal. Dalam mana-mana aturan syarikat yang mempunyai dua pemegang saham berbeza, kawalan pengurusan dipegang oleh pemegang saham majoriti.

Sebab itu saya sebut, berdasarkan semua bukti setakat ini, ia membayangkan ada perancangan tersusun dari awal untuk memastikan penyelewengan di dalam projek LCS ini dapat disembunyikan melalui pelbagai transaksi rumit, termasuk mewujudkan dua lapisan subkontraktor sedangkan BNS boleh saja menguruskan projek ini dengan sendiri.

Akibat dari keputusan tidak masuk akal itu, CAD hanya dimiliki oleh Boustead (dan LTAT) atas kertas sahaja. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), dua jawatan pengurusan paling penting di dalam CAD dipersetujui dilantik oleh RAD (bukannya Boustead/LTAT). CEO CAD adalah Gordon Hargreave yang mewakili RAD.

Selain dari mengawal pengurusan CAD, wakil-wakil RAD juga diberi kuasa menandatangani cek dan meluluskan perbelanjaan tanpa perlu merujuk kepada wakil BHIC di dalam CAD. Laporan siasatan dalaman ke atas kelewatan projek LCS secara jelas menyebut perkara-perkara berikut:

• Kedua-dua wakil RAD iaitu Luitjen Rolf Ennega (kemudian ditukar dengan Frank Hoffmann) dan Gordon Hargreave adalah dua orang penandatangan cek dalam kumpulan had kuasa (“Limits of Authority”) yang sama. Ini bermakna, untuk meluluskan sesuatu perbelanjaan atau membuat pembayaran, mereka berdua boleh menurunkan tandatangan tanpa perlu mana-mana wakil dari BHIC.

• Laporan menyebut “This gave an absolute authority to RAD to handle the finances of CAD despite BHIC holding 51% shares” yang bermaksud “Ini memberi kuasa penuh kepada RAD untuk mengendalikan urusan kewangan CAD walaupun BHIC memegang saham majoriti 51%”.

Lebih teruk lagi, BHIC memberi alasan RAD perlu dibawa masuk untuk mendapatkan kepakaran mereka dan membolehkan pemindahan teknologi dalam menjayakan projek LCS ini.

Semakan umum boleh menunjukkan bahawa kepakaran sebenar RAD adalah dalam membangunkan “fire control systems”(FCS atau sistem kawalan tembakan) bukannya dalam mengendalikan keseluruhan projek yang melibatkan komponen-komponen lain seperti “combat management system” (CMS).

Kepakaran RAD dalam membangunkan FCS ini diperakui sendiri dalam satu kenyataan media oleh syarikat induk RAG iaitu Rheinmetall AG bertarikh 27 Februari 2012 (paparan skrin saya sertakan bersama), muka surat 2 perenggan 10:

“.. The Defence Electronics business unit, led by Luitjen Ennega, includes command and fire control systems as well as reconnaisance systems.”

Luitjen Ennega adalah wakil RAD di dalam CAD.

Siasatan dalaman juga mengesahkan bahawa wakil-wakil TLDM dan Boustead yang menganggotai kumpulan projek LCS telah mempersoalkan kepakaran RAD mengendalikan keseluruhan projek, sedangkan kepakaran sebenarnya hanyalah dalam satu komponen projek sahaja.

Muka surat 29 laporan dalaman menyebut (diterjemahkan):

“... Berdasarkan perbincangan kumpulan penyiasat dengan [INDIVIDU XX], beliau menyatakan kepakaran utama RAD adalah untuk membangunkan Fire Control System (FCS) sahaja dan RAD telah diberikan lantikan subkontraktor bagi pakej itu berjumlah RM347 jua. Maka, tidak logik BNS bergantung kepada CAD/CED untuk membangunkan dan menguruskan perbekalan komponen-komponen lain terutamanya Combat Management System (CMS) dan BIT Centre. Nampak sangat ia perjanjian berat sebelah yang hanya menguntungkan RAD kerana mereka boleh menimba kepakaran (dari pakej-pakej lain) dalam bidang yang mereka tidak ada kepakaran..”

Perkara ini ditimbulkan berkali-kali oleh bekas Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz Jaafar. Siasatan dalaman ke atas pelaksanaan projek memetik teguran-teguran beliau seperti berikut:

“... Siasatan ke atas minit Lembaga Pengarah menunjukkan bekas Panglima TLDM (Tan Sri Aziz) telah beberapa kali menyatakan kebimbangannya kerana projek LCS nampak terlalu bergantung kepada subkontraktor CAD/CED. Beliau juga menasihatkan BNS supaya melibatkan pihak lain untuk mengurangkan risiko pergantungan itu..”

Maka, untuk menjawab Najib, saya simpulkan dan timbulkan perkara-perkara ini:

1. Atas campur tangan siapa yang begitu berani hingga Boustead/BNS melepaskan kawalan ke atas subkontraktor CAD/CED kepada bukan rakyat Malaysia sedangkan Boustead memegang saham majoriti?

2. Atas pengaruh dan campur tangan siapa yang membawa masuk RAD sedangkan maklumat pada ketika itu menunjukkan mereka tidak ada kepakaran sepenuhnya untuk mengendalikan projek ini?

Sebab itu, saya tegaskan sekali lagi bahawa bukti-bukti setakat ini menunjukkan penyelewengan dalam projek LCS telah dirancang dari awal, termasuk dengan mewujudkan syarikat-syarikat yang atas kertas nampak milik LTAT tetapi dikawal oleh individu-individu tertentu.

Persoalan paling besar: siapa jerung besar di belakang individu-individu tertentu yang mempunyai pengaruh dan kuasa sebegitu rupa?

RAFIZI RAMLI

 

No comments:

(function() { var d = document, w = window; w

DIA DAH DITOLAK DI DUN PENANTI. PERMATANG PAUH. BALIK LAH KEDAH USTAZ OIIIII....MAI CARIMAKAN DI PENANG PUN SUSAH JUGA...KULIAH DIA PUN BANYAK SEMBANG JUGA.

BALIK PE LAWAN DI KEDAH NU...   Kata dah PAS dah tukar zikir harian tapi walaun tak percaya..dulu ratib DAP DAP sekarang TOLAK PH, PH 22 BUL...