ANWAR BANTAH MONOPOLI BERNAS, KEUNTUNGAN TAK DIKONGSI DENGAN PESAWAH MISKIN


 Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim hari ini berkata kira-kira 150,000 pesawah miskin di seluruh negara harus dibenarkan berkongsi keuntungan daripada import beras yang kini dimonopoli oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Anwar berkata keputusan kerajaan untuk melanjutkan konsesi Bernas selama 10 tahun lagi hanya akan memperkayakan segelintir orang terpilih.

“Kita membantah secara prinsip mana-mana monopoli. Monopoli akan membunuh pesaing lain dan mengakibatkan kenaikan harga.

“Jadi kita sebut tadi kita patut ada tender terbuka,” kata pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Nombor dua, bagi petani termiskin dari Sabah ke Sekinchan (di Selangor) ke Kelantan, benarkan mereka mempunyai sedikit ekuiti supaya keuntungan yang besar itu dapat memberi manfaat kepada mereka secara langsung,” kata Anwar.

Berdasarkan laporan, Anwar berkata Bernas meraih RM1.2 bilion pada 2018, RM1.3 bilion pada 2019 dan RM798 juta pada 2020.

“Pemegang saham juga menerima dividen sebanyak RM670 juta. Tetapi dengan monopoli ini semua pulangan akan diberikan kepada syarikat,” tambahnya.

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melanjutkan konsesi Bernas untuk tempoh 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031.

Ditekan lebih lanjut mengenai cadangan PH untuk menyelesaikan isu jaminan makanan, Anwar mengulangi pendirian antimonopoli PH, pada masa yang sama menolak penubuhan pelbagai jawatankuasa kerajaan yang meneliti kebimbangan berkaitan.

“Dengar baik-baik jawapan PM pada Isnin. Apakah penyelesaian kepada masalah keselamatan makanan? (Untuk membentuk) jawatankuasa, jawatankuasa super dan jawatankuasa jihad!

“Kita ada masalah kita akan ada jawatankuasa. Kita ada lebih banyak masalah kita ada jawatankuasa penyelaras. Kita ada masalah serius kita ada jawatankuasa penyelaras yang serius.

“Apa yang perlu kita lakukan ialah menggulingkan ahli jawatankuasa tersebut,” katanya.