"Nak 'review' jangan tanya tauke!" - Anwar desak henti dasar monopoli Bernas

 


Hasimi Muhamad
"Nak 'review' jangan tanya tauke!" - Anwar desak henti dasar monopoli Bernas
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, dasar itu hanya membuka peluang kepada golongan kaya untuk mengaut keuntungan tanpa mengatasi masalah sebenar yang dihadapi oleh para petani dan pesawah. - Foto JAPEN
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak agar kerajaan menghentikan dasar monopoli import beras yang diberikan kepada Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Ketua Pembangkang itu mendakwa, dasar itu hanya membuka peluang kepada golongan kaya untuk mengaut keuntungan tanpa mengatasi masalah sebenar yang dihadapi oleh para petani dan pesawah.
Tegas Ahli Parlimen Port Dickson lagi, sepatutnya Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) atau Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dilibatkan dalam mencari jalan penyelesaian dan membela nasib golongan berkenaan.
"Satu syarikat punyai monopoli dengan keuntungan ratusan juta ringgit, mengapa tidak boleh dibantu petani melalui Nafas atau pertubuhan Peladang... mengapa diteruskan dasar monopoli?
"Hentikan monopoli import beras supaya peladang dan petani atau pesawah padi mendapat manfaat langsung. Dulu kita berikan kouta peratusan kepada persatuan peladang terutamanya Nafas. Mengapa hal ini diteruskan (monopoli), kerana kita bantah keras dasar yang menguntungkan pemodal dalam keadaan rakyat dan pesawah padi kesusahan," katanya ketika mengajukan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab persoalan tersebut, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, keputusan melanjutkan konsesi Bernas sebagai pengimport tunggal disifatkan sebagai tepat dalam memastikan bekalan beras negara sentiasa dalam keadaan stabil.
"Konsesi Bernas bukan satu konsesi yang berat sebelah... Bernas diminta memenuhi 10 obligasi yang saya terangkan semalam, di mana salah satunya membantu pesawah membangunkan sistem 'soil profile' dan menguruskan pelbagai oblogasi," ujarnya.
Bagaimanapun, Anwar mempertikaikan usaha tersebut yang didakwa tidak berlaku dan mengulangi pendirian bahawa penglibatan persatuan peladang amat diperlukan bagi membantu golongan petani dan pesawah.
"Mengapa nak suruh tauke besar selenggara masalah pesawah padi? Soalnya puluh tahun patut review (semak semula). Review jangan tanya tauke, tanya rakyat dan peswah padi," tambah Anwar.