“SKANDAL 1MDB TIDAK SELESAI SELAGI PELAKUNYA TIDAK DIHUKUM”

 

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki berkata, pelaku skandal 1MDB mesti dibawa ke muka pengadilan atas tindakan “jahat” mereka.

Dalam ucaptama pada Forum Pencegahan Rasuah Malaysia 2022, beliau menegaskan masih ada kerja yang perlu dilakukan sebelum skandal itu boleh diselesaikan.

“Tugas belum selesai. Rakyat Malaysia mesti menuntut akauntabiliti penuh ke atas setiap sen yang dilaburkan dalam 1MDB.

“Diharap orang ramai yang berada di sini turut sama menyeru setiap pelaku jenayah ini didakwa atas perbuatan jahat mereka,” katanya.

Azam menegaskan bahawa pengalaman Malaysia dalam mendapatkan semula sejumlah besar aset dipuji pelbagai pihak sekali gus menyebabkan pegawai SPRM berkongsi pengalaman tidak ternilai mereka di platform antarabangsa.

Katanya, pada 2020 dan 2021, SPRM mendapatkan semula kompaun dan penyelesaian berjumlah RM19.11 bilion, termasuk penghantaran pulang hasil jenayah berhubung 1MDB.

Azam berkata, agensi itu membuka 829 kertas siasatan yang membawa kepada 851 penahanan pada 2021.

Menurutnya, dalam empat bulan pertama tahun ini, SPRM membuka 376 kertas siasatan yang membawa kepada 415 penahanan.

Katanya, semasa penularan pandemik, SPRM juga sentiasa sibuk dengan siasatan berkaitan Covid-19.

“Kita tidak pernah mendedahkannya sebelum ini tetapi SPRM sedang menyiasat rasuah dalam perolehan perkhidmatan perubatan dan salah guna kuasa dalam menyalurkan bantuan serta pakej rangsangan.”

Katanya, SPRM turut menyiasat penipuan berhubung pemalsuan peralatan perlindungan perubatan seperti pelitup muka dan sarung tangan serta rasuah penguat kuasa yang menyelia perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Menyedihkan walaupun dalam pandemik ini…beberapa pembelian ini dicemari rasuah. Ini menunjukkan ada sesetengah orang tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan mendapatkan duit secara haram daripada kesakitan dan keadaan malang orang lain.


No comments: