Khairy pertahan keputusan kerajaan tangguh umrah, Menteri Agama masih berdiam diri
Keputusan kerajaan menangguhkan perjalanan umrah ke Arab Saudi dibuat berdasarkan kepada data dan statistik kes semasa semata-mata, demi melindungi nyawa rakyat Malaysia.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, data terkini diperoleh oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang telah menjalankan ujian ke atas 1,077 sampel kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara dari 21 hingga 29 Disember 2021.
Katanya, hasilnya sebanyak 966 daripadanya menunjukkan kemungkinan varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan genom penuh (whole genomic sequencing).
“Daripada sampel tersebut, 750 atau 78 peratus melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi. Sebab itu, kerajaan bersetuju menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah seperti mana saya umumkan bermula 8 Januari.
“Jadi, apabila dikemukakan data tersebut, saya minta adakan mesyuarat kuartet khas tergempar semalam, sebab bila berdepan maklumat seperti ini, kita tidak boleh duduk diam, kita kena melaksanakan sesuatu dengan pantas, saya mesti melaksanakan tugas berdasarkan pada statistik dan data yang dikemukakan.
“Tidak ada mana-mana menteri beragama Islam yang nak tangguhkan ibadah umrah, tetapi ini perkara serius, ini bukan ciapan di media sosial, ini bukan video di TikTok, ini melibatkan nyawa anda,” katanya.
Justeru, katanya, penilaian risiko situasi Covid-19 varian Omicron dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala sebelum membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah.
“Penangguhan sementara aktiviti umrah ini dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19, ini adalah langkah pencegahan.
“Apa yang kita tahu, akan datang gelombang Omicron, di Amerika Syarikat hampir setengah juta kes harian, di United Kingdom hampir 200,000 kes harian dan gelombang ini satu perkara yang nyata, yang akan tiba di semua negara. Apa yang kita dapat buat adalah langkah pencegahan bagi memperlahankan gelombang ini daripada melanda negara kita,” katanya.