Cadangan menambahkan hukuman dalam Rang Undang-Undang (RUU) Akta
Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pindaan) 2021 atau Akta 342
kepada sesiapa yang melanggar Prosedur Operasi Piawai (SOP) diutarakan oleh
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Menteri
Kesihatan Datuk Seri Khairy Jamaluddin di Parlimen, hari ini.
Menurut Anwar, bantahan dari PH itu disampaikan secara lisan dalam
pertemuan bersama Menteri Kesihatan tersebut.
"Saya baru menerima kunjungan dari Menteri Kesihatan YB
Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah di
pejabat saya tengahari tadi.
"Ini adalah selepas kami Ahli-ahli Parlimen menyatakan
bantahan pada rencana kerajaan dalam mengekang wabak menerusi pindaan Akta 342.
"Dalam pertemuan tersebut, saya telah menyatakan kebimbangan
dan keluhan rakyat berhubung langkah ini," katanya.
Sejak semalam, PH telah menyatakan penolakan mereka untuk
menyokong RUU Pindaan Akta 342 dan tidak akan mengikuti Ahli Parlimen Kerajaan
dalam meluluskannya pada bacaan kali pertama, dijangka petang ini
Sementara itu dalam perkembangan sama, Pengarah Komunikasi
KEADILAN Fahmi Fadzil dalam hantaran twitternya turut menyatakan satu mesyuarat
khas diadakan oleh Pengerusi PH mengenai langkah kerajaan mahu meminda Akta 342
itu tanpa libat urus PH
"Pertemuan tergempar untuk bincang cadangan Menteri Kesihatan
buat pindaan tambahan kepada RUU pindaan Akta 342.
"Kami belum putuskan sokong atau tidak, bergantung kpd
pindaan terkini," kata Fahmi sambil mengepilkan gambar pertemuan
berkenaan.
Anwar memanggil mesyuarat tergempar berhubung
Akta 342