Benar kajian ganja, ketum untuk perubatan, Zahidi beritahu kerajaan
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa membenarkan penyelidik tempatan mengkaji manfaat kanabis, hem dan ketum untuk kegunaan perubatan.
Gesaan itu dibuat Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang bersama beberapa Ahli Parlimen lain menghimpunkan hasil kajian sedia ada oleh universiti dan syarikat untuk dihantar kepada KKM dan KDN.
“Kita berusaha untuk dapatkan laporan mengenai ketum dan hem untuk dihantar kepada KKM dan KDN.
“Ada NGO bersama kita untuk kerajaan mempertimbangkan ketum dan hem,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Forum Awam: Masa Depan Mampan Industri Perubatan Kanabis, Hem dan Ketum di Malaysia.
Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar berkata, kajian itu bagi membuktikan manfaat kanabis, hem dan ketum serta meyakinkan KKM dan KDN memberi kelulusan khas kepada penyelidik tempatan, antaranya Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau berkata, kajian industri itu memerlukan kelulusan khas kedua-dua kementerian berkenaan kerana membabitkan penanaman hem dalam jumlah besar yang bertentangan dengan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Katanya, kerajaan perlu melihat peluang penanaman ketum dan hem untuk pasaran negara dan pendapatan kepada rakyat.
“Hem bakal mencecah RM250 bilion pasaran seluruh dunia. Tiga negara sahaja yang keluarkan hem, iaitu China, Perancis dan Chile. Malaysia mempunyai peluang terbaik kerana kajian antarabangsa dedahkan tanah kita terbaik untuk penanaman ketum dan hem,” katanya.
Zahidi berkata, jika KKM dan KDN enggan memberikan kelulusan, beliau dan beberapa Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan bebas akan mengusulkan rang undang-undang persendirian bagi mendesak kelulusan penggunaan kanabis, hem dan ketum untuk perubatan serta industri.
“Kita nak memperjuangkan hem dan ketum kerana ia ada peluang cerah di peringkat antarabangsa,” katanya.