PAS TOLAK MN BERERTI MEREKA TIDAK SUDI KERUSI PM JATUH KEPADA UMNO

 

Apa yang sebahagian besar daripada kita faham ialah sebab utama Pas menolak Muafakat Nasional atau MN adalah semata-mata kerana UMNO enggan menerima Bersatu menyertai gabungan itu.

Difahami juga pendirian Pas itu bukan saja kerana parti Islam itu mahu penyatuan ummah yang lebih besar dan agar kemenangan dalam PRU15 benar-benar pasti dapat digenggam, bahkan juga disebabkan rasa cinta Pas kepada Bersatu melebihi nilai perasaannya terhadap UMNO.

Sekali imbas, memang itulah gambarannya.

Tetapi, jika diteliti berkali-berkali beserta hujah demi hujah oleh Presiden Pas, Hadi Awang, penolakan Pas kepada MN yang keanggotaannya hanya terhad kepada Pas dan UMNO semata-mata sebenarnya mempunyai maksud yang lebih mendalam lagi.

Ternampak bahawa matlamat Pas mahu membawa Bersatu sekali ke dalam MN, selain untuk membuka ruang kepada kemenangan yang lebih terjamin, sebab utama di sebalik tindakan itu ialah untuk menghalang UMNO menjadi dominan dalam PRU15 dan seterusnya berjaya menduduki kerusi Perdana Menteri.

Jika Pas sedia dan mahu melihat pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri melalui pilihan pengundi dalam PRU akan datang, pastilah Pas akan memilih bersama parti itu sambil terus mengukuhkan MN.

Meski sekarang Ismail Sabri Yaakob yang menjadi Perdana Menteri adalah daripada UMNO, namun sokongan Pas dilihat terhad kerana beliau adalah pilihan yang dipersetujui oleh Mahiaddin serta kedudukan Pas yang sudah sedia berada dalam kerajaan.

Untuk masa depan selepas PRU15, pendirian Pas menolak bersama MN tidak ialah kerana tidak mahu UMNO terus menduduki lagi kerusi Perdana Menteri itu.

Sudah barang tentu Pas lebih menolak calon Perdana Menteri daripada UMNO itu jika calonnya nanti adalah daripada kalangan kluster mahkamah yang sedang menghadapi perbicaraan sekarang ini.

Walau secara logiknya jika Pas memilih bersama UMNO dan kekal dalam MN, peluang untuk menang PRU15 adalah lebih cerah berbanding bersama PN yang disertainya kini, Pas juga sebenarnya sedar kemenangan itu nanti akhirnya akan lebih memberi ruang untuk dimegah-megahkan oleh UMNO semata-mata.

Lantaran enggan melihat UMNO kembali mendominasi kuasa dan memperolehi kerusi Perdana Menteri, Pas lebih rela bersama Bersatu dan PN, meski hakikatnya kemenangan dalam PRU15 masih kabur bagi gabungan tersebut.

Yang penting bagi Pas, sementara mereka juga belum pasti beroleh kemenangan bersama Bersatu dan PN, yang lebih penting ialah agar UMNO dan pemimpinnya tidak harus diberi laluan mudah untuk menduduki semula kerusi Perdana Menteri.

Barangkali sejarah permusuhan berpuluh tahun dengan UMNO serta kerakusan parti itu dalam berkuasa selama lebih 60 tahun sebelum ini masih lagi menghantui Pas dan mereka mengambil keputusan untuk tidak semudah itu memberi ruang kepada parti tersebut berkuasa semula.

Sebab itu, Pas dipercayai akan terus meletakkan syarat agar Bersatu diterima bersama dalam MN jika UMNO inginkan mereka kembali kepada gabungan tersebut.

Tujuan agar Bersatu diterima menyertai MN tidak lain supaya sekali lagi Pas dapat menghalang hasrat UMNO mendominasi kuasa secara sewenang-wenangnya selepas PRU nanti atau setidak-tidaknya tidak diberi laluan yang begitu mudah.

Sebagaimana tujuan Pas bersama dalam PN ialah untuk memastikan Mahiaddin dapat kembali sebagai Perdana Menteri, hasrat membawa Bersatu ke dalam MN juga adalah dengan maksud yang sama.

Dengan tiga parti ada dalam MN – UMNO, Pas dan Bersatu – jika dua parti memihak kepada Mahiaddin, pastilah apa yang dihasratkan itu lebih mudah untuk dicapai.

Bermakna, selagi UMNO enggan menerima Bersatu, selagi itulah Pas akan terus menolak MN dan UMNO usah bermimpi dapat melembutkan hati Hadi.

Matlamat besar Pas dan Hadi tidak sekadar mahu kerusi Perdana Menteri dapat kembali kepada Mahiaddin, tetapi juga mereka sebenarnya tidak sudi sama sekali kerusi Perdana Menteri itu jatuh kepada UMNO.

Apakah di mata Pas, UMNO lebih kurang sehina DAP? – ShahbudinHusin 06/12/2021.





No comments: