Nasib yang menimpa Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan dalam soal pemilihannya yang tertunda sebagai Timbalan Speaker Parlimen adalah sesuatu yang cukup malang bagi dirinya.
Ia bukan saja memperlihatkan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob gagal memperjuangkan nasibnya dan kepentingan UMNO, malah juga menunjukkan jawatan itu sudah tidak berharga lagi buat Ahmad Maslan.
Sampai pindaan Perlembagaan terpaksa dilakukan untuk menambah jawatan Timbalan Speaker daripada dua kepada tiga dengan tujuan agar beliau memperolehi jawatan tersebut secara mudah atau automatik, nilai jawatan itu sudah tiada makna lagi kepadanya.
Sebab itu, dalam hal ini, jika Ahmad Maslan ada maruah dan harga diri, pilihan yang terbaik buatnya ialah menarik diri dengan segera daripada terus dicalonkan.
Ini kerana pemilihan beliau pada hujung Oktober nanti untuk menduduki jawatan tersebut bersama seorang wakil daripada blok pembangkang, maknanya pemilihan beliau itu tetap tidak mendapat sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen Bersatu yang sekarang ini menolaknya.
Walaupun hanya nama beliau mewakili UMNO dan Nga Kor Ming daripada blok pembangkang yang dicalonkan untuk mengisi dua jawatan Timbalan Speaker dan apabila diumumkan menang secara automatik, kemenangannya adalah kemenangan yang cacat serta memalukan.
Realitinya, kemenangan beliau nanti bukan kerana sokongan atau kepercayaan daripada Ahli-Ahli Parlimen blok kerajaan, tetapi disebabkan adanya pindaan Perlembagaan dengan menambah jumlah jawatan.
Realitinya juga, Ahli-Ahli Parlimen Bersatu tetap dikira tidak menyokong pencalonannya.
Di mana Ahmad Maslan dan UMNO nak letak muka dengan keadaan itu, sedangkan UMNO yang mengetuai kerajaan dan Perdana Menteri sendiri datang daripada UMNO?
Lagi pun, dengan memegang jawatan Timbalan Speaker Parlimen nanti, status beliau sebagai ahli kumpulan kluster mahkamah dalam UMNO tetap tidak tidak berubah.
Keadaan dirinya bukan saja tidak menjadi bersih secara automatik dengan adanya jawatan Timbalan Speaker itu, malah tetap perlu berulang alik ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan berkaitan kes penggubahan wang haram sedang dihadapinya.
Oleh kerana Bersatu sebelum ini menentang sebarang pemberian jawatan kepada kluster mahkamah dan meletakkan ia sebagai syarat sokongan PN kepada Ismail Sabri, kedudukan kerajaan akhirnya akan terus berada dalam ketidakstabilan dalam tempoh yang berpanjangan.
Bersatu tentu saja tidak akan berdiam diri daripada mengkritik Perdana Menteri dan UMNO kerana meletakkan Ahmad Maslan bagi menduduki jawatan itu, lebih-lebih lagi sehingga sanggup meminda Perlembagaan bagi tujuan itu.
Sebagaimana UMNO sebelum ini mengkritik Mahiaddin Md Yasin dan Bersatu, maka selepas ini giliran Bersatu pulalah menibai Ismail Sabri dan UMNO secukup-cukupnya.
Sekarang ini pun sudah banyak kedengaran suara-suara daripada Bersatu yang mengecam pencalonan Ahmad Maslan itu dan setelah beliau memegang jawatan itu nanti, pasti ia akan lebih bersemarak lagi.
Tak diragui lagi bahawa mencalonkan Ahmad Maslan akan memberi peluru percuma kepada Bersatu untuk menembak dan melemahkan UMNO.
Untuk itu, jika Ahmad Maslan benar-benar memikirkan maruah dan harga dirinya serta tidak mahu UMNO terbeban dengan masalah yang ada pada dirinya, menarik diri adalah pilihan paling baik untuk dilakukannya tanpa berfikir lebih daripada dua kali.
Biarlah pemimpin UMNO yang lain dicalonkan bagi jawatan itu menggantikan dirinya, setidak-tidaklah oleh kerana UMNO yang enggan berbaik dengan Bersatu dalam PRU15 akan datang, parti itulah yang sepatutnya menyerang Bersatu dan bukan memberi peluru percuma kepada Bersatu untuk menembaknya.
Bagi Ahmad Maslan serta UMNO, dicalonkan dan lebih-lebih lagi setelah pegang jawatan Timbalan Speaker, malang bukan saja berterusan, bahkan akan lebih berganda-ganda. –
ShahbudinHusin 19/09/2021.