SETELAH 30 HARI TANPA APA2 KEMAJUAN, SEDIAKAH KITA HARUNGI LEBIH 100 HARI DIPIMPIN ISMAIL SABRI?

 

Hari ini genap sebulan Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri sejak mengangkat sumpah jawatannya pada 21 Ogos lalu.

Dengan 30 hari yang sudah berlalu ini bermakna hanya tinggal 70 hari lagi daripada tempoh 100 hari yang diberi beliau kepada barisan anggota kabinetnya untuk menunjukkan prestasi kepada rakyat.

Apakah penilaian kita secara umum terhadap prestasi semua menteri-menteri lantikannya setakat ini?

Bagaimana pula dengan prestasi Perdana Menteri sendiri?

Sementara menunggu tempoh 100 hari itu, apakah ada sesuatu yang membanggakan kita telah ditunjukkan oleh Ismail Sabri selaku nakhoda sebuah kerajaan dalam jangka masa 30 hari yang telah berlalu ini?

Secara umum dan berdasarkan reaksi terbuka daripada pelbagai golongan, Ismail Sabri dilihat masih tidak memperlihatkan sesuatu yang meyakinkan atau ternampak kehadirannya memberi sinar keyakinan kepada masa depan negara ini.

Selain tiada apa-apa pembaharuan dan kemajuan, pengumuman demi pengumuman yang diumumkannya melalui kenyataan media ini setakat hanyalah sekadar menyambung kerja-kerja Mahiaddin Md Yasin sebelum ini.

Krisis kesihatan yang melanda negara akibat Covid19 dan kesan pelbagai daripadanya masih belum ditangani dengan penuh meyakinkan, malah angka kes dan jumlah kematian masih lagi dikira tinggi hari demi hari.

Cuma yang berbeza, jumlah kematian yang tinggi sebelum ini dikatakan adalah disebabkan backlog atau tunggakan dan bukan angka sebenar pada hari hari berkenaan.


Dengan itu, angka kematian akibat Covid19 sejak Ismail Sabri menjadi Perdana Menteri ini agak menurun sedikit yang dilaporkan berbanding sebelumnya.

Begitu pun, alasan tersebut masih menimbulkan kekeliruan serta tanda tanya di kalangan orangramai dan mengapa ia hanya dijadikan hujah setelah jawatan Perdana Menteri bertukar tangan?

Apakah ada drama dan konspirasi di sebalik semua ini?

Kelonggaran SOP dan sekatan rentas negeri yang masih dikuatkuasakan di sebalik hampir semua sektor ekonomi telah dibuka adalah isu yang menimbulkan paling banyak rungutan dan rasa tidak puas hati di kalangan rakyat.

Jika sudah sekian banyak sektor ekonomi dibuka, logiknya tidak munasabah lagi pergerakan rentas negeri harus disekat kerana pelbagai urusan, perjumpaan, mesyuarat dan penghantaran adalah syarat utama dalam menggerakkan pernigaan.

Apa guna vaksinasi lengkap yang telah mencapai tahap hampir 80 peratus rakyat dewasa ketika ini jika mereka tetap tidak boleh bergerak ke mana-mana?

Tambahan lagi, sementara merentas negeri tidak dibenarkan, melancong di Langkawi telah diberi kelonggaran dan dibuka dengan seluas-luasnya.

Menambah lagi pertikaian terhadap kerajaan dalam hal ini ialah sementara menaiki kapalterbang bagi tujuan melancong itu dibenarkan duduk berapat-rapat tanpa penjarakan fizikal, mengapa surau dan masjid tidak dibuka seluas-luasnya?

Mengapa masih ada jumlah 100, 300 dan 500 orang untuk menunaikan ibadah, sedangkan ruang masjid begitu luas dan lapang?

Kenapa hanya memasuki masjid ada had tertentu, tetapi bebas sepenuhnya ketika menaiki kapalterbang dan memasuki pusat membeli belah?

Dalam isu ibadah ini, yang menimbulkan rungutan sebenarnya bukan saja berhubung pendaftaran dan keistimewaan kepada golongan kayangan yang boleh datang lewat ikut masa mereka, manakala rakyat marhaen berdasarkan siapa cepat dia dapat, tetapi juga kerana masjid dan surau tidak dibuka dengan sepenuhnya.

Meski kita memahami hal berkaitan agama adalah di bawah Sultan atau Raja di setiap negeri, tetapi biasanya jika MKN atau kerajaan pusat membuat keputusan memberi kebenaran masjid dan surau dibuka sepenuhnya, negeri-negeri juga akan mengikuti langkah yang sama.

Konon kerajaan Melayu/Islam dan menteri yang menjaga hal ehwal agama juga datang daripada parti Islam, tetapi kenapa dalam soal peribadatan ini terlalu lembab sel-sel otak mereka berfikir untuk memberi keselesaan dan ketenangan jiwa kepada rakyat?

Kalau merancang menjatuhkan kerajaan dan merebut jawatan, sanggup ke sana sini walau bertongkat dan dalam keadaan uzur, mengapa dalam menunaikan amanah kepada rakyat terlalu perlahan?

Dalam konteks lain, sepanjang tempoh 30 yang sudah berlalu ini juga menunjukkan Ismail Sabri masih gagal menzahirkan politik yang damai dalam kerajaannya sendiri.

Di sebalik berjaya mewujudkan MOU antara kerajaan dengan blok pembangkang yang mana harus difahami, penyumbang utama ia menjadi kenyataan ialah kerana PH yang dipimpin Anwar Ibrahim menunjukkan jiwa besar dan sedia berkompromi demi rakyat dan negara, malangnya Ismail Sabri sendiri gagal mendamaikan hubungan antara UMNO dengan Bersatu yang sama-sama berkongsi mengaut gaji lumayan dalam kerajaan.

UMNO dan Bersatu tidak ubah ibarat kucing dengan anjing yang sentiasa ingin bergaduh dan ada saja perasaan tidak puas hati antara satu sama lain.

Hasrat Ismail Sabri mahu memberi jawatan Timbalan Speaker Parlimen kepada Ahmad Maslan daripada kumpulan kluster mahkamah dalam UMNO telah mencetuskan penolakan daripada Bersatu sehingga pemilihannya terpaksa ditangguhkan untuk membolehkan pindaan Perlembagaan dilakukan terlebih dahulu.

Tidakkah ini menunjukkan kelemahan dan kegagalan Perdana Menteri sendiri dalam menanganinya?

Kemudian daripada itu dengar khabarnya beliau ada hati pula mahu melantik Najib Razak, pemimpin yang ditanggapi sebagai ketua kumpulan kluster mahkamah sebagai Penasihat Ekonominya yang bertaraf menteri, suatu jawatan yang sama taraf dengan Mahiaddin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

Jika pencalonan Ahmad Maslan pun ditolak oleh Bersatu, sediakah Ismail Sabri menerima penolakan yang lebih keras daripada Bersatu melalui pemberian kedudukan kepada Najib itu nanti?

Dengan 30 hari yang sudah berlalu dan tiada apa-apa pembaharuan, menunggu lagi 70 hari untuk melihat pewaris kerajaan gagal PN ini menunjukkan prestasinya, apa sudahnya nasib kita di bawah kepimpinan Ismail Sabri yang tidak pun menunjukkan beliau lebih baik daripada Mahiaddin sebelumnya?

Sediakah kita mengharungi lebih daripada 100 hari negara ini dipimpin oleh Ismail Sabri tanpa apa-apa bantahan? –


 ShahbudinHusin 20/09/2021.