Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkongsikan data jumlah kes kematian di luar hospital (BID) akibat jangkitan Covid-19 malam tadi.
Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berpendapat jumlah kematian tersebut menggambarkan ‘kecekapan’ pentadbiran selama 17 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Pada malam kejatuhan kerajaan PN, saya dengan berat hati mendedikasikan lambang ’17 bulan kecekapan’.
“BID: Minggu Epidemiologi (ME) ke-13 (1 April) terus meningkat. Jumlah BID, 2021 iaitu kenaikan pantas sejak ME ke-31,” katanya di Twitter malam tadi.
Kes BID merujuk kepada kematian di luar hospital dan kematian disahkan disebabkan Covid-19 selepas proses bedah siasat dilakukan.
Kes kematian BID semakin membimbangkan termasuk dalam kalangan golongan muda berusia bawah 30 tahun terutama selepas kemunculan varian baharu yang dilaporkan tidak mempunyai gejala.
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini menjelaskan terdapat tiga senario yang mungkin berlaku kepada pesakit BID.
Pertama, pesakit Covid-19 mempunyai gejala seperti demam dan batuk hanya pergi ke klinik untuk mendapatkan ubat.
Menurut KKM, mereka tidak melakukan ujian saringan Covid-19 dan beberapa hari kemudian ditemui meninggal dunia di rumah.
Senario kedua pula, pesakit didapati positif Covid-19 dan sudah dilapor kepada KKM oleh klinik swasta tetapi pesakit ditemui meninggal di dunia di rumah sebelum dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) atau hospital.
Sementara itu, bagi senario ketiga, KKM menjelaskan, pesakit mula hilang deria rasa dan sangat letih, tetapi tidak mengambil serius gejala tersebut sebaliknya hanya berehat di rumah sebelum ditemui meninggal dunia di rumah beberapa hari kemudian.
Menurut KKM lagi, sesetengah kes BID didapati pesakit enggan mendapatkan rawatan di hospital walaupun sudah disahkan positif Covid-19.