TANYA DIRI KITA, SANGGUPKAH LAGI KITA DIPERINTAH PN DAN MAHIADDIN?

 

UMNO secara rasmnyai telah memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu dan akan keluar daripada kerajaan PN pada suatu tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Keputusan itu bermakna, UMNO tidak mahu PN menjadi kerajaan lagi selepas PRU15 akan datang.

Kalau UMNO inginkan PN terus menjadi kerajaan dan Mahiaddin Md Yasin kekal sebagai Perdana Menteri, sudah tentu ia membuat keputusan mengekalkan kerjasama dengan Bersatu untuk menghadapi PRU15 nanti.

Tetapi, selain Bersatu yang masih berharap dapat bekerjasama dengan UMNO, segelintir pemimpin UMNO atau sebahagian daripada kelompok yang digelar kluster menteri dan Pas juga mahukan sedemikian.

Bagi Bersatu, keinginan mengekalkan kerjasama dengan UMNO itu tidak lain ialah bagi memastikan mereka kekal lagi menerajui kerajaan PN ini.

Kepada segelintir pemimpin UMNO kluster menteri dan Pas pula, mereka inginkan UMNO dan Bersatu itu kekal bekerjasama ialah agar kehidupan mewah mereka sebagai menteri, timbalan menteri dan ketua GLC dapat dipanjangkan lagi.

Mereka tidak peduli pun tentang maruah, masa depan dan nilai perjuangan parti masing-masing yang kini tidak lagi bernilai di mata rakyat setelah bersama dalam kerajaan PN yang gagal dan caca-marba sejak lebih setahun yang lalu.


Selain pemimpin UMNO tersebut terus mengecam keputusan pimpinan parti mereka yang membuat keputusan putus hubungan dengan Bersatu sebagai tanda mereka memang pro kepada Mahiaddin, Pas pula sibuk menawarkan mahu menjadi orang tengah memulihkan kembali hubungan kedua-dua parti itu.

Sesuatu yang kita harus sedari dan sematkan dalam hati, PN dan Mahiaddin adalah kerajaan dan Perdana Menteri yang terbukti gagal dalam menerajui negara ini.

Tidak perlu dihuraikan dengan panjang lebar, terlalu banyak aspek kelemahan dan kegagalan itu sehingga di mana-mana sekarang ini boleh kita dengari dengan jelas suara rakyat yang menolak, benci dan meluat kepada PN dan Mahiaddin.

Penolakan, kebencian dan rasa meluat itu memberi isyarat bahawa rakyat inginkan sebuah kerajaan dan Perdana Menteri baru selepas PRU15 akan datang.

Rakyat tidak mahukan lagi PN dan Mahiaddin yang terbukti telah gagal memimpin dan menerajui negara ini.

Tetapi, jika difahami, hasrat segelintir pemimpin UMNO dan Pas yang mahu kerjasama Bersatu dengan UMNO terus dikekal dan dipulihkan semula, ia bermaksud mereka itu mahukan kerajaan PN dan Mahiaddin yang gagal sekarang ini terus diberi peluang lagi menerajui negara ini.

Kegilaan apakah semua ini?

Sanggupkan kita sebagai rakyat yang sudah sengsara dan derita di bawah PN dan Mahiaddin selama ini disambung tempoh kesengsaraan dan penderitaan untuk sepenggal lagi?

Sanggupkah kita menyaksikan darurat yang dilaksanakan konon untuk memerangi Covid19, namun akhirnya melalui perintah itu yang dijarah ialah dana amanah KWAN serta dipinda undang-undang untuk membolehkan kerajaan membelanja wang negara sesuka hati tanpa membentangkannya ke Parlimen?

Sanggupkah kita melihat lebih 70 menteri dan timbalan menteri yang sebahagian besarnya tidak berfungsi dan hanya makan gaji buta terus meletakkan diri mereka sebagai pemimpin kita?

Sanggupkan kita melihat Azmin Ali yang menggunakan wang negara untuk melakukan lawatan rasmi menarik pelaburan ke Arab Saudi, tetapi sudahnya bangga hanya jadi tukang sapu di sana?

Sanggupkah kita melihat kes video Haziq tidak ada kesudahan dan kabur siapa pelakonnya sampai bila-bila?

Sanggupkah kita melihat Hamzah Zainuddin terus campurtangan dalam pasukan polis, bercakap besar ingin memenjarakan mereka yang melanggar SOP, tetapi dia sendiri dikesan pernah tidak memakai pelitup muka?

Untuk sekadar empat lima fakta di atas saja, walaupun hakikatnya banyak lagi boleh disenaraikan, tanya diri kita, sanggupkan kita berada lagi di bawah PN dan Mahiaddin sebagai kerajaan dan ketua pemerintah untuk tempoh yang lebih lama? 


(ShahbudinHusin 09/05/2021)





No comments: