Jangan ‘denial’, ambil tindakan, kata Guan Eng


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Muhyiddin Yassin seperti terasing daripada isu penting.

PETALING JAYA: DAP meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengetuai mesyuarat harian Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menangani kemelut ekonomi negara dan krisis Covid-19.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng berkata, lonjakan jangkitan Covid-19 serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di beberapa negeri utama telah melembapkan proses pemulihan ekonomi.

Lim dalam kenyataan berkata, ini disebabkan kegagalan pengurusan krisis kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang
“dipenuhi dwistandard, ‘flip-flop’ dalam polisi dan ‘pusingan-U’ SOP.”

Lim menuduh kerajaan cuba mengalihkan bebanan kepada rakyat, dengan memetik amaran pihak berkuasa mengenai kemungkinan berlaku lebih 5,000 kes harian Covid-19 selepas Hari Raya Aidilfitri serta ugutan untuk menangkap atau menahan mereka yang melanggar sekatan PKP.

“Rakyat bukannya berang kerana undang-undang ini sebaliknya disebabkan penguatkuasaan dua darjat apabila golongan VIP terlepas tanpa hukuman, atau dengan hukuman yang ringan berbanding rakyat biasa,” tambahnya.

Walaupun negara dalam Darurat dan Parlimen ditangguhkan, Lim berkata krisis kesihatan semakin teruk, malah MKN berterusan dengan pendekatan yang gagal mengekang penularan.

Katanya, negara masih dalam kemelesetan ekonomi walaupun kerajaan membelanjakan RM622 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi dan Belanjawan Persekutuan 2021.

Beliau turut menyentuh mengenai kadar vaksinasi rendah. Katanya, kurang daripada sejuta rakyat Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, bererti sasaran untuk memvaksin 80% daripada 32 juta penduduk negara ini menjelang Disember sebagai sesuatu yang mustahil.

Katanya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin nampak seperti ‘terasing’ daripada isu-isu ini dan sepatutnya bertindak dengan mengadakan mesyuarat harian bersama MKN.



No comments: