Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dicadangkan agar mengaku mereka
telah gagal mengendalikan negara ini dengan baik dan sebelum ia menjadi lebih
parah sebagaimana India, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu
berundur dan diserahkan negara kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk
meneruskannya.
“Sudah tiba masanya untuk Perdana Menteri dan kerajaan paling
teruk dalam 63 tahun sejarah negara untuk meletakkan jawatan dan memberi ruang
kepada Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke sembilan untuk melawan
wabak Covid-19.
Lim Kit Siang“(Ia bertujuan) menyelamatkan negara daripada
menjadi “mini-India” dalam pandemik ini, dan juga untuk negara kita menjadi
negara hebat bertaraf dunia,” kata ahli Parlimen veteran, Lim Kit Siang
(gambar).
Bagi beliau, jelas sekali bahawa kerajaan Muhyiddin ini telah
gagal untuk mengawal penularan wabak Covid-19, walaupun selepas menggunakan
cara yang tidak demokratik dan tidak sah iaitu pengisytiharan darurat.
Bagi veteran DAP itu, layanan berbeza dalam pelaksanaan SOP
Covid-19 kepada menteri dan pemimpin Perikatan Nasional, telah menambah buruk
keadaan dengan meluaskan jurang defisit kepercayaan kepada kerajaan PN ini.
Katanya, di seluruh dunia, negara-negara yang terkesan teruk
sebelum ini kini melihat keadaan bertambah baik dalam usaha melawan Covid-19 di
negara mereka.
Pada bulan Januari tahun ini, katanya, Amerika Syarikat
melaporkan kira-kira 300,000 kes sehari dengan kadar jangkitan meningkat
sembilan kali ganda, dan kadar kematian berada pada paras 4,000 kes sehari.
Kini wabak ini sedang beransur mengundur di AS.
Di Eropah semasa berhadapan dengan gelombang kedua, dilaporkan
terdapat kira-kira 300,000 kes baharu dan 7,000 kematian setiap hari pada awal
tahun ini. Kini kadar kes baharu di Eropah telah menurun sebanyak hampir 30
peratus.
“Kedua-dua Amerika dan Eropah menggunakan strategi sekatan
pergerakan bersasar dan vaksinasi secara meluas, tetapi kita gagal melakukan
kedua-dua langkah ini selepas setahun bergelut dengan wabak ini,” kata ahli
Parlimen antara yang paling lama berkhidmat itu.
Katanya, rekod negara kita dalam melawan wabak ini adalah satu
perkara yang mengecewakan.
“Walaupun kita tidak berhadapan dengan kerosakan teruk seperti
di Amerika dan negara-negara Eropah, kita masih lagi jauh di belakang
kisah-kisah kejayaan mengawal wabak Covid-19 di negara-negara Asia Timur,
ASEAN, dan kawasan serantau Pasifik,” katanya.
Dalam penerbitan Bloomberg Covid Resilience Ranking April 2021,
Malaysia berada di tempat ke-20, di belakang Singapura, New Zealand, Australia,
Israel, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, UAE, Finland, Hong Kong, Vietnam, China,
Thailand, Denmark, Norway, AS, UK, Kanada dan Arab Saudi.
Sekarang, semasa wabak ini sedang beransur reda di Amerika dan
Eropah, Malaysia pula menyertai negara-negara yang didahului oleh India di mana
wabak ini sedang merebak teruk.
Semalam adalah kali keempat India mencatatkan lebih daripada
400,000 kes baharu — 401,271 kes — dan kali pertama negara tersebut mencatatkan
lebih daripada 4,000 kematian dengan 4,194 kematian.
Jumlah kes dan kadar kematian akibat Covid-19 di India terus
meningkat, mencecah sejumlah 21,886,566 kes dan 238,265 kematian.
“Malah Indonesia dan Filipina yang mempunyai angka terkumpul
yang lebih tinggi berbanding negara kita, telah menyaksikan kejayaan yang lebih
baik dalam perang melawan wabak Covid-19,” katanya.
Indonesia semalam mencatatkan 6,327 kes baharu berbanding dengan
kemuncak 14,518 kes pada 30 Januari sedangkan Filipina pula mencatatkan 7,737
kes baharu berbanding dengan kemuncak 15,280 kes pada 2 April.
Bagi beliau, Malaysia, pusat pertemuan empat kebudayaan hebat
dunia — Melayu/Islam, Cina, India, dan Barat — tidak boleh menjadi sebuah
kakistokrasi.