Anwar kutuk serangan Israel di Masjid Aqsa, mahu negara dunia kecam Zionis

 


Serangan pasukan tentera Israel ke atas jemaah yang sedang solat tarawih di Masjid Al Aqsa, Palestin kelmarin mendapat kutukan keras Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, dunia perlu mempertahankan hak rakyat Palestin daripada terus ditindas oleh Zionis Israel apatah lagi ketika umat Islam sedang beribadat di masjid.

"Sempena hari al Quds sedunia, di mana kita mengingati kota suci umat Islam, Yahudi dan Kristian berlakunya kekejaman, kezaliman berterusan oleh rejim Zionis Israel. Pertama di Shajarah dan paling kejam bila diserang jemaah tatkala solat diakhir bulan Ramadan di masjid al Aqsa di Quds.

"Kita harus mengutuk keras tindakan zalim ini. Ia membuktikan kekejaman berterusan kerana dunia lesu dan tidak berani pertahan hak rakyat Palestin sebagai warganegara, untuk mempertahankan harta benda mereka.

"Pemikir terkenal Palestin, Eduard Said pernah mengungkapkan bahawa permasalah Palestin adalah masalah rampasan hak rakyat. Politik di mana harta mereka dirampas," katanya.

Bagi Pengerusi Pakatan Harapan itu, Malaysia dan antarabangsa perlu mengutuk kekejaman Israel dan perlu berbuat sesuatu yang lebih tegas bagi mengelakkan Israel sewenang-wenangnya bertindak zalim kepada musuh mereka.

"Apa yang kita lihat di Shajarah adalah proses bukan sahaja diskriminasi, penghapusan etnik untuk menghakis dan kalau boleh menghilangkan sama sekali kehadiran rakyat Palestin di sana.

"Selain mengutuk keras kita juga mendesak kerajaan-kerajaan termasuk Malaysia untuk menyatakan sikap yang lebih tegas dan berbuat sesuatu untuk membantu meringankan beban rakyat Palestin.

"Semoga Allah melindungi kita semua," katanya.

Jumaat lalu, serangan tentera Zionis ke atas Masjid al Aqsa menggunakan bom tangan, bom gas dan peluru getah menyebabkan 178 rakyat Palestin cedera.